Dalam ruangan ini, saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat mengenal kehidupan remaja lantas terus membimbing mereka untuk menjadi pemuda yang beriman, isyaAllah
Setiap kali usrah saya bersama anak muda pastinya kami tidak akan terlepas perbincangan berkenaan generasi remaja di negara kita yang semakin membimbangkan kini.
Melihat kepada senario remaja sekarang yang begitu banyak terlibat dalam masalah dan gejala sosial seperti pegangan agama yang terlalu longgar, hilang kesopanan, adat-adat dan cara hidup, hilang keyakinan terhadap budaya, ingkar terhadap ibu bapa dan sebagainya.
Kita sebagai pemuda yang punyai kefahaman tentang Islam wajib hadir dengan membawa misi bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki senario yang berlaku, mengupayakan remaja agar berfungsi secara aktif dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah remaja itu sendiri.
Di Malaysia remaja dapat di bagahagikan kepada beberapa kategori:
Remaja yang mempunyai masalah dan telah terlibat dalam kancah gejala sosial seperti dadah, arak, judi, jenayah dan sebagainya.
Remaja bandar.
Remaja Peneroka Bandar
Remaja luar bandar.
Remaja Peneroka ( FELDA, FELCRA, & Lain-lain )
Remaja Rumah Pangsa.
Remaja Setinggan
Remaja Nelayan
Remaja yang tidak lagi mengikuti pendidikan formal.
Remaja yang berlatar belakang pendidikan agama.
Remaja yang mempunyai masalah keluarga, kemiskinan.
Remaja yang bekerja.
Sekolah-sekolah ( institusi pendidikan; sekolah )
KITA PERLU MEMAHAMI REALITI REMAJA
Jelasnya komuniti remaja sering menjadi mangsa, anasir negatif yang cuba merosakkan minda, gaya hidup, budaya, tingkah laku dan corak pergaulan mereka. Justeru kita perlu mengambil langkah mengenali segala bentuk dan corak yang cuba digunakan oleh pihak tertentu untuk meracuni cara hidup remaja. Dengan cara ini para remaja dapat memastikan diri mereka mampu keluar dari bentuk dan corak hidup yang silap di dalam meniti perjalanan hidup mereka sebagai seorang remaja.
Berikut saya bawakan beberapa bentuk dan corak budaya negatif yang cuba dibina kepada remaja.
Materialisme – Sikap dan sifat yang mementingkan kebendaan, cuba ditanam dalam diri remaja. Mereka cuba dimomokkan dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian mereka. Segala perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan nilai kebendaaan semata-mata. Hingga ia melahirkan falsafah guna segala sumber alam yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalkan kepada generasi akan datang. Ini kerana segala yang kita miliki perlu kita habiskan hari ini juga. Ini juga menyebabkan lahirnya gaya hidup berbelanja segala pendapatan yang diperolehi, tanpa perlu memikirkan keadaan akan datang. Konsep berbelanja dengan sederhana serta, menjadi pengguna yang bertanggungjawab tidak wujud di dalam nilai kehidupan materialisme ini.
Hedonistik – Budaya hedonistik merupakan, budaya berhibur, bergembira, dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya. Ini terangkum dalam peribahasa barat yang menyatakan ” bergembiralah engkau hari ini, puaskanlah nafsumu hari ini, kerana esok engkau akan mati”. Budaya hedonistik di kalangan remaja kian mudah dilihat dewasa ini. Contohnya hiburan yang dipilih remaja hari ini, sering melangkaui batasan norma sosial masyarakat timur. Misalnya lirik-lirik lagu yang sering didengar oleh remaja kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.
Individualistik – Gaya hidup yang mementingkan diri mula menjalar di dalam perasaan, sanubari dan perlakuan remaja hari ini. Remaja hari ini dimomokkan dengan tema kehidupan menafikan keperluan untuk berkongsi kegembiraan, kehidupan, tenaga, ilmu dan kesihatan bersama orang lain. Mereka berpendapat mereka bebas untuk mencemarkan alam sekitar, kerana itu hak mereka. Mereka bebas untuk bersikap tidak sopan seperti pergaulan bebas kerana itu juga hak mereka. Dalam masa yang sama remaja kini tidak lagi mempunyai sikap untuk membantu orang yang lebih tua, membantu ayah ibu, menyelesaikan masalah sahabat dan semangat gotong royong. Segala nilai murni dalam kehidupan remaja telah diganti dengan gaya penting diri dalam kehidupan moden ini.
Westernisasi ( pembaratan ) – Arus westernisasi mula mengocak dan cuba meruntuhkan segala budaya murni yang dimiliki oleh masyarakat timur. Arus ini cuba meruntuhkan keyakinan remaja terhadap budaya, bahasa, kepercayaan, gaya, dan nilai hidup remaja. Ini jelas dapat dilihat daripada corak pemakaian remaja yang lebih selesa berseluar jeans, berseluar pendek, berbaju ketat dan memakai anting-anting bagi lelaki. Mereka sudah tidak yakin untuk memakai baju islamik milik mereka untuk kemajlis rasmi, malahan dalam kehidupan harian, mereka juga cuba mengelakkan pakaian yang melambangkan bangsa mereka. Dalam soal pemakanan mereka lebih bangga memakan makanan barat seperti McDonald, Pizza Huts sebagai makanan yang melambangkan status mereka. Sewajarnya remaja harus menyedari segala proses westernisasi ini merupakan proses yang dirangka oleh barat, demi untuk menjajah setiap ruang kehidupan remaja dewasa ini.
Nasionalisme sempit – Kita saban hari telah diracun oleh semangat perkauman dan cinta kepada bangsa dan negara yang terlalu sempit. Semangat ini disuntik dan ditanam semenjak kita kecil lagi untuk taksub kepada bangsa sendiri dan negara sendiri. Ini meyebabkan kita melebihkan kelebihan bangsa sendiri dan negara sendiri dan dalam masa yang sama menafikan yang setiap manusia yang diciptakan Allah SWT sama tanpa ada bezanya. Yang membezakan kedudukan sesama manusia hanya iman dan takwa. Kita diberi kefahaman salah iaitu segala yang dilakukan sewajarnya diniatkan untuk bangsa ataupun negara semata-mata. Perkara ini menyebabkan kita tidak mengambil peduli segala permasalahan kemiskinan, penindasan, penjajahan , ketidakadilan, pengeksploitasian dan pembunuhan manusia samaada diperingkat serantau atau antarabangsa. Ini kerana segala kecintaan kita dicurahkan kepada batasan bangsa dan sempadan negara sehingga menafikan perasaan kemanusiaan, keadilan dan keamanan yang melangkaui batasan bangsa dan sempadan negara.
KITA PERLU PUNYAI AGENDA UNTUK MENGEMBANGKAN POTENSI REMAJA
Sememangnya kita mengimpikan remaja yang mempunyai kekuatan untuk menonjolkan gaya hidup murni dan menolak segala anasir negatif, serta bentuk penjajahan yang cuba merosakkan sistem hidup remaja dewasa ini.Perkara ini hanya mungkin berlaku dengan pembinaan nilai baru dalam kehidupan remaja.
Di sini saya ingin memberikan beberapa cadangan untuk membangunkan semula jatidiri remaja hari ini
Keyakinan Pada Islam-
Remaja merupakan aspek dan tunggak utama dalam sesebuah negara. Remaja diibaratkan seperti hati dalam diri manusia yang mana apabila rosak hati tersebut, maka rosaklah seluruh jasadnya. Maka, remaja merupakan hati ataupun nadi kepada sesebuah negara. Seperti mana kata-kata yang selalu didengari :
“Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada pemuda dan pemudinya.”
Justeru, bagi mengatasi masalah keruntuhan akhlak remaja, kita perlulah berbalik kepada teras yang telah dibekalkan iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Selain itu, perlu adanya penyatuan hidup dalam jemaah, tampung-menampung dalam memperbaiki kelemahan dan cakna terhadap masalah yang menimpa orang lain. Ini bagi mengelakkan sifat pentingkan diri ataupun lebih dikenali dengan ‘ananiah’. Seperti mana yang tercatat dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat dengan perkra yang menimpa sahabat semuslimnya, maka dia bukanlah daripada golongan mereka”
Oleh itu, kita perlu siap siagakan diri remaja dari pelpagai sudut ilmu Islam dan kemahiran bagi menegakkan Islam yang bukan sahaja hanya pada nama,tapi Islam pada ‘isinya’
Keberanian –
Keberanian jiwa remaja untuk menolak kehidupan yang berteraskan kehidupan mementingkan diri, materialisme, individualistik dalam kehidupan merupakan satu langkah awal yang penting. Remaja perlu berani mencabar gaya hidup moden yang sering merosakkan minda, fizikal dan budaya hidup. Walaupun anda mungkin akan dianggap oleh rakan-rakan sebagai orang yang anti – sosial, kolot dan menolak cara hidup moden. Tetapi keberanian jiwa remaja untuk menolak segala segi unsur yang sedemian merupakan, satu contoh untuk gaya kehidupan yang murni dan lebih sempurna sebenarnya.
Berilmu –
Keilmuan merupakan teras dalam pembangunan jatidiri seorang remaja. Namun keilmuan perlulah dimenefestasikan dengan pengamalan. Aktiviti membaca dalam kehidupan seorang remaja perlu menjadi amalan setiap detik kehidupan. Keilmuan juga bukan merujuk kepada alam persekolahan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata. Kerana alam persekolahan hanya memerlukan setiap remaja menghafal maklumat dengan tujuan untuk menjawab peperiksaan. Ini bukanlah konsep keilmuan yang perlu ada dalam kehidupan remaja. Sebaliknya keilmuan tersebut merangkumi pembelajaran yang berteraskan keinginan memperolehi ilmu melalui keinginan sendiri yang bertujuan membina peribadi dan membantu sahabat dan masyarakat yang memerlukan.
Disiplin –
Disiplin merupakan asas yang terpenting buat seorang remaja. Disiplin yang utuh dan kukuh menjadi kekuatan menggerakkan pembangunan diri dan menampilkan budaya hidup yang murni. Disiplin sewajarnya dihayati dan diamalkan di dalam setiap aspek dan dimensi kehidupan seorang remaja. Disiplin ini secara mudahnya bolehlah dinyatakan merangkumi persoalan disiplin membaca, disiplin ibadah, disiplin pengurusan diri dan disiplin menguruskan masa harian. Dengan kekuatan disiplin sahaja remaja mampu untuk memertabatkan budaya murni mereka.
Menifestasi Peribadi –
Remaja perlu menonjolkan corak kehidupan yang baik, menarik dan murni. Konsep kesederhanaan perlu ada di dalam kehidupan seorang remaja. Keperluan untuk menolak gaya hidup mewah, membazir, dan tidak berjiwat adalah sesuatu yang wajar. Dalam masa yang sama sikap suka menolong orang tanpa mengira bangsa, agama dan negara perlulah menjadi amalan kehidupan remaja. Dengan mengambil Rasulullah S.A.W sebagai model kehidupan yang murni adalah sesuatu yang perlu. Kita dapat menilai bagaimana ketinggian akhlak, budi pekerti dan segala unsur kebaikan dalam kehidupan Baginda Rasulullah S.A.W. Dalam masa yang sama segala gaya hidup yang menggambarkan pembaziran, sombong, hidup mewah, dan pelbagai unsur lagi ,tidak wujud di dalam kamus hidup Baginda Rasullullah S.A.W.
Budaya Bertindak –
Mula dari apa yang kita ada, Bina dari apa yang kita tahu. Prinsip kerja yang cuba diterapkan dalam jiwa remaja. Golongan remaja perlu menjadi pencetus, penggerak dan penerus dalam gerak kerja kebaikan. Tidak ada alasan yang mengatakan bahawa golongan remaja ini masih muda, mentah dan tidak tahu apa-apa.
Penutup
Gejala sosial yang melanda remaja zaman sekarang berada di tahap yang amat membimbangkan. Maka, semua pihak harus menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini. Ini termasuklah daripada pihak keluarga, sahabat handai, pendidik dan kerajaan sendiri.
Justeru kita perlulah sentiasa menganjur kebaikan; berhasrat mengajak remaja kepada perkara-perkara kebaikan, dengan menyahut seruan agama iaitu amar makruf nahi mungkar, selain itu kita juga perlu berperanan dengan adil dalam usaha membantu golongan remaja kerana dalam usaha membentuk remaja berkualiti, pengupayaan remaja amat penting
Semoga segala panduan di atas dapat kita amalkan dan yang paling utama, jangan kita lupa untuk meminta pada Allah agar dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat kita. Semoga Allah bersama kita sentiasa. InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.