PEMUDA SUKAN X -TREAM BICARA TENTANG STRATEGI DAKWAH ANAK MUDA

Posted: July 19, 2012 in Uncategorized

Antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini ialah bagaimana untuk menarik lebih ramai generasi muda agar kembali menghayati dan melaksanakan tuntutan Islam terhadap diri mereka. Tugas ini sememangnya tidak mudah, memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih “menyeronokkan”.

Dalam, ruangan Hayya Syabab kali ini saya akan mengupas satu perbincangan menarik ketika saya bertemu dengan pemuda yang punyai bakat dalam sukan BMX dan basikal Fixie namun yang menariknya mereka bukan sahaja berbakat dalam sukan ini, bahkan mereka dapat membahagikan masa mereka dengan baik dalam melaksanakan tugasan dakwah diwaktu yang lain dalam kadar kemampuan mereka.

Alhamdulillah saya sempat berusrah dengan dua orang pemuda ini dan sempat berkongsi pandangan dengan mereka berkenaan solusi terbaik dalam menangani masalah anak muda yang semakin jauh dengan Islam.

Pertamanya, bagi saya generasi muda sekarang tidak lagi seperti generasi muda beberapa dekad lalu, mereka kini lebih terdedah dengan maklumat dan pengaruh luar akibat globalisasi, yang mana akhirnya menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara yang melalaikan sehingga melupakan ajaran agama dan adat ketimuran yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Bukan sekadar tidak ke masjid, malah ibadah solat fardu pun sudah dialpakan.

Mereka nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk maleksanakan amal islami.

Saya memulakan perbincangan dengan menyatakan bahawa proses tarbiah dan bimbingan Islam kepada generasi muda harus terus dipergiatkan. Jika anak-anak muda ini sudah mendapat kefahaman yang benar mengenai agama Islam, insyaAllah mereka akhirnya akan komited untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan, termasuk memahamkan mereka bahawa segala aktiviti yang mereka lakukan adalah ibadah.

Salah seorang dari pemuda ini juga sempat menyatakan pandangan beliau, baginya sokongan daripada masyarakat setempat dalam memastikan pemuda pemudi kembali kepada cara hidup Islam juga perlu diambil kira. Lebih khusus lagi, aktiviti dan persekitaran sesebuah kawasan perumahan itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula generasi muda mengahayati cara hidup Islam sesuai dengan zaman mereka.

Bagi saya ada benarnya pandangan pemuda ini, lantas saya teringan akan kata-kata Saidina Umar Al-Khatab R.A, “Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya.”

Berpandukan sedikit pengalaman yang saya dalam dunia dakwah anak muda, terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dianjurkan masyarakat setempat  untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini. Antaranya ialah:

1. Rekreasi

Anak-anak muda sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran. Antara jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat setempat ialah perkhemahan, berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt) dan explorace. Jangan lupa untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.

2. Sukan

Majoriti anak muda sekarang memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini, masyarakat setempat boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau dapat diadakan pertandingan sukan antara taman atau kampung, pasti bertambah kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid.

3. Kesenian dan kebudayaan

Ramai juga anak muda yang meminati bidang seni. Justeru, bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh masyarakat setempat. Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni mempertahankan diri, pentomen dan teater.

4. Pertandingan kreatif

Di samping itu adakanlah aktiviti berbentuk pertandingan kreatif yang khusus disertai oleh golongan remaja dan belia. Contoh pertandingan ialah pertandingan filem pendek, pertandingan melukis komik, pertandingan kuiz isu Palestin, pertandingan flash, pertandingan foto bermesej, pertandingan mereka bentuk laman web masjid, Akademi Khatib dan sebagainya. Pastikan promosi pertandingan ini disebarkan seluas mungkin dengan penyediaan hadiah yang mampu menarik minat anak-anak muda untuk menyertainya.

InsyaAllah jika semua cadangan-cadangan diatas dapat dilaksanakan dengan baik oleh masyarakat setempat, saya percaya hasrat kita untuk membuatkan generasi muda hari ini beramal denga cara hidup Islam akan beroleh kejayaan.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan dalam edisi kali ini, insyaAllah jika dizinkan Allah SWT kita akan berkongsi lagi berkenaan cerita-cerita dan idea yang menarik daripada anak muda untuk dikongsikan dengan sidang pembaca sekalian.

Marilah bersama kita realisasikan kerja dakwah ini di tempat kita sendiri, perlu diingat bahawa suatu kerja besar yang hendak dilakukan sangat memerlukan pengorbanan yang besar.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam aktiviti anak muda dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s