MENJADI PEMUDA YANG DICINTAI ALLAH

Posted: July 19, 2012 in Uncategorized

Saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat meraih cinta Allah.

Tajuk ini sering saya bincangkan dalam setiap kali pertemuan atau usrah saya bersama anak muda.

Masa muda adalah masa yang paling menyeronokkan, Masa muda inilah dimana kita sedang mencari identiti diri kita yang sebenar untuk menempuh kehidupan dunia yang mencabar dimasa hadapan. Pengalaman ketika di usia muda ini akan dibawa ke alam dewasa dan bakal mencorak kehidupan kita dimasa hadapan kelak. Justeru semestinya semasa berada di masa muda banyak ujian dan cabaran yang terpaksa kita hadapi.

Masa muda inilah kita semakin mengenal erti kehidupan. Ini kerana sebelum ini kita berada di alam kanak-kanak . Pada zaman kanak-kanak kita masih tidak mengenali erti kehidupan lagi. Pada masa muda inilah kita semakin mengenali siapa diri kita, apa yang kita minat dan sebagainya.

Justeru kita sebagai pemuda muslim perlu membina dan memiliki kekuatan agar menjadi pemuda yang lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT, lalu apakah yang perlu diperkuatkan oleh kita?

Justeru saya teringat pesanan Syeikh Dr Yusof Al Qardhawi, beliau menyatakan sekurang-kurangnya ada 3 perkara yang perlu diperkuatkan oleh pemuda.

Pertama, Iman, Iman merupakan sinergi antara tasdiqun bil qalbi, iqrarun bil lisan dan ‘amalun bil arqan. Inilah iman yang benar, sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menghunjam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap saat memberikan buahnya yang lazat untuk manusia dan makhluk sekelilingnya.

Menurut As Syahid Syed Qutb, orang yang memiliki iman yang kuat hanyalah orang-orang yang tidak menjadi hamba-sahaya dari siapapun selain Allah, dan tidak mengikuti siapapun kecuali RasulNya. Generasi beriman ini hanyalah orang yang dengan setulus hati percaya bahawa ajaran Allah dan RasulNya adalah kebenaran yang mutlak, dan apa pun yang bertentangan dengannya adalah sesat, dan apa pun yang baik bagi manusia dalam hidup di dunia ini mahupun di akhirat nanti seluruhnya telah terkandung dalam ajaran-ajaran Allah dan UtusanNya.

Seseorang yang beriman sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran ini adalah orang yang selalu mencari petunjuk dari ajaran Allah dan RasulNya dalam setiap langkah-hidupnya.

Keduanya kekuatan akhlak. Akhlak merupakan buah kepada keimanan. Orang yang imannya kuat dan berada dalam keadaan baik akan menghasilkan akhlak dan peribadi yang menyenangkan orang lain. Mereka yang memiliki kekuatan iman akan terlebih dahulu memperlengkapkan dirinya dengan akhlak yang yang mulia. Rasulullah SAW sendiri sebagai model terbaik kita menjadi teladan ditengah-tengah para sahabat.

“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (al-Qalam: 4)

Rasulullah SAW mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Saidina Abu Bakar menyusul pula sebagai penerus perjuangan risalah Rasulullah SAW, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Dan semua kepimpinan Islam dan para ulama terdahulu memiliki kekuatan akhlak yang luarbiasa. Kini giliran kita mempersiapkan diri dengan kekuatan akhlak agar umat ini mampu memimpin kembali tamadun manusia.

Memperindahkan akhlak memberi kesan besar kepada masa depan kita di dunia dan di akhirat. Bahkan ianya memberi pulangan lumayan kepada empunya diri.

Kekuatan ketiga menurut Syeikh Dr Yusof Al Qhardhawi ialah kekuatan ilmu pengetahuan agama. Maka kita harus kaya dengan ilmu pengetahuan agama. Pemuda Islam yang miskin dengan ilmu pengetahuan agama dan tidak memahami misi dan visi Al Quran dan perjuangan Rasulullah SAW akan dipandang remeh dengan sebelah mata oleh musuh-musuh Islam, bahkan dia tidak akan mampu mempersembahkan Islam dalam bentuk yang syumul, lengkap dan tepat. Kefahaman dirinya terhadap Islam juga akan pincang dan lemah.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qardawi, ilmu-ilmu agama merupakan alat bagi kita untuk menyelesaikan banyak perkara. Kebanyakan pemuda Islam hari ini semakin longgar ikatan mereka dengan Islam, ada yang tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak tahu membaca al-Fatihah, tidak menutup aurat, minum arak, berzina, dan sebagainya yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT, akibat tidak memperdalami ataupun duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Maka merekalah sasaran kita, bagaimana mungkin kita mampu untuk memperkata sesuatu mengenai agama bagi menasihatkan mereka jika kita sendiri tidak menguasai ilmu-ilmu agama. Malah yang bukan Islam juga semakin menunjukkan minat untuk tahu, apakah sebenarnya Islam, adakah ia satu agama yang menyuruh penganutnya supaya bertindak ganas, ataupun agama yang mendidik .

Allah SWT berfirman:

“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat.” ( Al-Mujadilah: 11)

Dan sebaliknya orang yang jahil akan ilmu agama-Nya disebutkan oleh Allah sebagai seorang yang buta yang tidak dapat melihat kebenaran dan kebaikan. Allah SWT berfirman:

“Apakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu adalah al-haq (kebenaran) sama dengan orang yang buta? (tidak mengetahui al-haq).” (Ar-Ra’d: 19)

“Katakanlah (ya Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)?.” (Az-Zumar: 9) 

Sidang pembaca sekalian di usia muda inilah anda perlu menghargai setiap masa yang ada. Jangan sia-siakan masa yang anda ada dengan melakukan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak dengan membuang masa, merempit di jalanan, berdating dengan pasangan dan banyak lagi. Sebaliknya anda hendaklah gunakan setiap masa yang ada dengan menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin kerana di masa muda ini, anda masih belum mempunyai dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab yang berat berbanding dengan orang dewasa.

Biasanya semasa di alam muda, minda dan ingatan seorang muda masih lagi segar dan kuat. Gunakanlah ia dengan sesuatu yang dapat memberi faedah yang berharga kepada diri sendiri dan juga orang lain. Sewaktu muda ini banyakkanlah membaca, belajar dan mengulangkaji segala ilmu. Ilmu Allah SWT itu sangat luas mungkin anda tidak mampu untuk mempelajari semuanya tapi berusahalah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan anda selagi terdaya. Jadikan budaya menuntut ilmu sebagai hobi anda pada setiap masa.

Ilmu yang anda tuntut bukan hanya perlu tertumpu kepada ilmu-ilmu akademik yang dipelajari disekolah atau di universiti sahaja. Sebaliknya cuba terokai ilmu-ilmu lain selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat islam. Apabila anda mendalami ilmu dalam banyak bidang lain ia akan dapat memberikan kekuatan dan membuatkan anda menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai. Anda juga tidak akan mudah diperdaya oleh orang lain yang lebih dewasa dari anda walaupun mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dari anda.

Setiap tindakan yang anda lakukan adalah melambangkan kebijaksanaan dan kematangan anda dalam melakukan sesuatu perkara. Setiap tindakan yang anda lakukan akan sentiasa diperhatikan oleh orang lain disekeliling anda. Jika buruk tingkah laku anda maka buruklah pandangan orang lain terhadap anda. Maka sentiasalah kita lakukan perkara yang membawa kebaikan dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Ini kerana orang lain akan menyukai sikap anda dan akan menghormati anda. Buatlah sesuatu perkara yang akan menyenangkan hati sesiapa sahaja yang berada disekeliling anda.

Ramai orang berpandangan bahawa usia muda adalah masa untuk bersuka ria, berseronok, bergembira dan sebagainya. Memang tidak salah untuk hidup bersuka ria dan berseronok, namun ianya tidak boleh berlebihan sehingga mengabaikan pegangan agama dalam diri. Ramai pemuda yang hidup dalam keseronokan sehingga mengabaikan suruhan dan larangan agama.

Ramai juga dikalangan generasi muda yang beranggapan bahawa hidup mereka masih lagi panjang. Ramai yang sering mengabaikan ibadah terutamanya solat. Ramai yang merasakan yang bila dah tua nanti barulah nak solat. Masa muda ni nak enjoy dulu, Cuma beberapa persoalan yang ingin saya tanyakan, adakah kita merasakan yang hidup kita akan sampai ke tua? Adakah kerana kita muda kita tidak mungkin akan mati? Bagaimana agaknya kalau Allah telah memanggil kita semasa kita masih lagi dalam keadaan yang tidak bersedia di usia yang masih muda kerana sering mengabaikan ibadah?.

Justeru itu, sebagai kesimpulannya, jangan jadikan kehidupan di usia muda sebagai sebab untuk kita hidup bebas di usia ini. Gunakanlah sepenuhnya masa usia muda  supaya anda dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri,keluarga, masyarakat dan negara.

Saya mendoakan agar kita semua terus diberi hidayah dari Allah SWT, agar dapat kita menjadi pemuda yang dicintai Allah SWT.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s