JOM IBADAHKAN AKTIVITI SUKAN KITA

Posted: March 14, 2012 in Uncategorized

Tulisan saya dalam Majalah FARDU AIN edisi ke 10

Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek peribadatan semata tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan. Hal ini kerana Islam amat peka terhadap pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi manusia agar proses transformasi yang di lakukan dalam dimensi-dimensi ini dapat melahirkan manusia bertaqwa, seimbang, berilmu, berakhlak, sihat, intelek, berdisiplin serta teguh pendirian.

Dalam ruangan Hayya Syabab ini saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah generasi muda dapat menjadikan hobi atau minatnya itu sebagai satu ibadah, kerana bagi saya kita sebagai generasi muda punyai belbagai hobi dan minat mesti diraikan sebaik mungkin dengan ruh Islam, jadi bagi memastikan apa yang kita lakukan itu mendapat redha Allah mari bersama kita ikuti nukilan saya ini.

Bulan ini saya ingin membawa pembaca sekalian melihat bagaimanakah sukan dapat dijadikan Ibadah kepada Allah apabila kita melakukannya.

Sebagai seorang aktivis dakwah saya perlu bertemu belbagai lapisan anak muda untuk saya menyampaikan mesej Islam, Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bersukan bersama para pemuda yang dapat menjadikan sukan sebagai ibadah mereka sekaligus berkongsi ilmu dengan pembaca apakah mesej yang hendak saya sampaikan ketika kita bersukan.

Saya ingin membawa sidang pembaca kepada satu perspektif berbeza tentang sukan. Ia bukanlah suatu yang baru, bahkan telah lama wujud seiring dengan kewujudan Islam di muka bumi tetapi menjadi asing atau dianggap baru bagi mereka yang selama ini beranggapan, bersukan hanyalah untuk melegakan stress dan mengeluarkan peluh semata-mata, sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang syumul (menyeluruh) dan juga merupakan ad-din (cara hidup) bagi umat manusia, maka bukan sahaja aspek ibadah khusus, seperti solat, puasa dan zakat, malah seluruh aspek kehidupan seperti makan dan minum, tidur, mandi, belajar, mengajar, bekerja, melancong, berkawan, berkahwin, mempunyai zuriat dan segala-apa yang terlintas di fikiran kita, jika dilakukan berlandaskan syariat dan niat yang betul maka ianya dikira sebagai ibadah. Dan ini termasuklah dengan bersukan.

Mesej pertama yang ingin saya sampaikan kepada sidang pembaca ialah, bagaimana kita mahu menjadikan sukan ini indah dengan nilai-nilai ibadah.

Untuk menjawab persoalan ini, saya simpulkan tiga rukun ibadah yang banyak dikemukan oleh para Alim Ulama’:

1. Adanya rasa cinta kepada Allah SWT.
2. Adanya rasa harap kepada Allah SWT.
3. Adanya rasa takut kepada Allah SWT

Oleh itu, untuk menjadikan bersukan itu ibadah, kita perlu menyandarkan semangat atau ruh kita kepada Allah SWT melalui tiga rukun tersebut sementara kekuatan fizikal diluah dalam aktiviti sukan yang kita lakukan. Sebagai contoh, ketika bersukan atau menyertai satu pertandingan sukan, kita niatkan untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat supaya di kemudian hari dengan keadaan tubuh yang kuat dan sihat, kita dapat melaksanakan urusan-urusan yang lebih Allah sukai. Jika Allah suka dengan perlakuan kita maka secara automatiknya Allah lebih cinta dan sayang kepada kita.

Adanya rasa harap kepada Allah swt pula tidak lari dari konsep tawakkal. Kebanyakan aktiviti sukan terutamanya yang melibatkan pertandingan terarah kepada bentuk persaingan. Maka, sudah pasti kita bercita-cita untuk berjaya dalam aktiviti yang kita sertai. Jadi, berusahalah bersungguh-sungguh kemudian letakkan pengharapan akan kesudahannya kepada Allah, kerana kita yakin Allah yang mencipta dan mengatur aturan alam ini lebih tahu apa yang terbaik dalam setiap keputusan yang berlaku. Jika kejayaan milik kita, maka bersyukurlah. Jika tidak, pasti ada hikmah yang perlu kita kupas dan terokai.

Dan adanya rasa takut kepada Allah adalah dengan menjaga perlakuan, pergaulan dan pemakaian kita ketika bersukan. Menjaga lidah kita sekalipun ada rasa tidak puas hati, tidak mencederakan dengan sengaja, menyalahkan orang lain atas kekalahan kita dan berpakaian sopan, semua ini hanya dapat kita pelihara dengan wujudnya perasaan takut akan Allah swt yang sentiasa memerhati dan mengetahui segala yang tersurat dan tersirat, takut akan mendapat kemurkaan dari-Nya, mungkin pengaruh sukan yang sangat kuat di peringkat antarabangsa seperti World Cup dan Sukan Olimpik yang rata-rata umat manusia menontonnya secara langsung di kaca tv, aspek pemakaian yang tidak menutup aurat seperti berseluar pendek bagi lelaki dan berpakaian ketat oleh wanita sudah menjadi satu kebiasaan bagi kebanyakan umat islam. Malah, sesetengahnya tidak lagi segan untuk berpakaian sedemikian apatah lagi menonton ahli-ahli sukan pujaan mereka beraksi dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Nampak ringan tetapi arahan Allah SWT dengan jelas memberi ancaman-Nya yang sangat berat kepada manusia yang tidak menjaga auratnya, Firman Allah swt dalam surah an-Nur ayat 30-31 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Dengan demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya.

Maka, dengan tujuan-tujuan serta saranan-saranan yang diberikan, saya mengharapkan para pembaca dapat sedikit-sebanyak mengambil ibrah (pengajaran) dan menjadikan perkongsian ini sebagai input yang berguna dalam menelusuri kehidupan seharian kita sebagai abidullah (hamba kepada Allah) dan khalifah di muka bumi dalam menyampaikan kebaikan dan menegakkan kebenaran.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam aktiviti anak muda dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s