Archive for December 21, 2011

Warisan para pejuang (mujahid) di kalangan ulama’, sarjana, cendekiawan di zaman silam, adalah generasi yang benar-benar hidup dengan Islam serta melaksanankannya dalam agenda kehidupan berasaskan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

Mereka meletakkan keyakinan penuh bahawa Islam sahajalah yang mampu menyelesai segala permasalahan, masalah krisis keyakinan umat, krisis pegangan terhadap ajaran agama, penyimpangan akidah, pengamalan cara hidup yang tidak selari dengan tuntutan syarak menjadi keutamaan untuk diberi pengamatan sepenuhnya.

Apapun yang penting selain taat setia, ikrar, janji terhadap Allah SWT dimeterai pada setiap pelaksanaan ibadat solat 5 waktu, mereka buktikan dalam 5 bentuk slogan yang amat terkenal khususnya di kalangan para pejuang yang ingin menegakkan agama Allah SWT.

Lima slogan yang dimaksudkan:

1. Allah matlamat hidup kita.

2. Rasulullah ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita.

3. Al-Quran perlembagaan hidup kita.

4. Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita.

5. Mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita.

Pertama, kita bertanya bagaimana kita hendak merealisasi Allah SWT sebagai matlamat hidup kita?
Allah ‘minded’ atau Allah ‘Oriented’ memang menjadi darah daging kepada generasi kalangan ulama silam. Ini menunjukkan bahawa mereka meletakkan Allah adalah segala-galanya dalam agenda hidup mereka yang utama. Ia juga menggambarkan betapa Allah menjadi pra syarat pertama yang mesti didahulukan dalam segenap perancangan jangka pendek atau panjang untuk melebarkan sayap-sayap Islam, tanpanya segala perancangan bagaikan tidak mendapat restu Allah SWT.

Ia boleh direalisasi dalam perkara berikut secara urutan:

1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.

2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.

3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.

4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang sukar untuk dilakukan.

5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah.

6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil, mathurat dan zikir-zikir harian yang lain.

7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.

8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.

9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan. Ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah.

10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.

11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan 11 rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.

12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.

13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.

14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.

15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.
16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).

17. Tidak banyak berangan-angan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.

18. Tidak mengejar kamasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.

19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.

20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan-Nya.

21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.

22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya-Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Kedua, Rasulullah SAW sebagai ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita dibuktikan secara sungguh-sungguh pelaksanaan sunnah-sunnah baginda dari sudut kenyataan, ungkapan, cara hidup, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mentadbir negara dan banyak lagi, pendek kata ia boleh digarap melalui penghayatan Sirah baginda Rasulullah SAW.
Kebangkitan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Rasulullah SAW bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah”.

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah SAW adalah ‘role model’ bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah SAW itu terletak contoh pemimpin yang baik, contoh bapa yang baik, contoh suami yang baik, contoh jiran yang baik, contoh peniaga yang baik, contoh sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah SAW.

Sikap sesetengah umat Islam yang mengambil individu tertentu sebagai model ikutan adalah sesuatu yang mendukacitakan, Mereka mengambil pemimpin yang zalim dan penyanyi Barat sebagai contoh ikutan. Apa yang lebih memilukan ada yang menjadikan golongan yang memuja maksiat dan bergelumang dengan najis dadah dan jenayah sebagai contoh ikutan mereka. Sedangkan semua itu bukan mengajak mereka kepada kebaikan tetapi mendorong mereka kepada kebinasaan dan kelalaian semata-mata.

Justeru kita perlu jelas,walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah SAW yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.

Ketiga, Al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita, Al- Quran sebagai sumber kekuatan jati diri pada ketika umat Islam semakin longgar ikatan dan hubungan mereka kepada ajaran agama mereka sendiri. Justeru ia perlu dibaca setiap hari, dihayati, didiskusi dalam majlis-majlis ilmu bagi mengembalikan sejarah kegemilangan kekuatan umat Islam pada era sahabat dan tabi’in.

Al-Quran menjadi mukjizat kekal bagi Rasulullah SAW dan buat manusia seluruhnya. Mukjizat-mukjizat lain seperti air keluar dari celah jari Rasulullah SAW, pokok kurma datang kepada Rasulullah SAW, bulan terbelah hanya dilihat di zaman ia berlaku sahaja. Mungkin ada kesannya yang boleh dilihat hingga sekarang tetapi satu-satunya mukjizat yang kekal, bukan sahaja sebagai mukjizat dengan nama mukjizat, bahkan sebagai petunjuk kepada manusia, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, menjadi pemisah di antara yang haq dan batil serta menjadi perlembagaan paling tinggi buat hidup dan kehidupan manusia di dunia ini ialah Al-Quran.

Keempat, Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita, ia bukan sahaja difahami dalam konteks carta haraki sebagai memikul senjata dalam medan peperangan, akan tetapi diertikan juga sebagai jihad melawan tipu daya syaitan yang berusaha untuk menyekat pergerakan diri kita untuk mendaulatkan Islam dan merasa lemah dan lesu untuk berbuat demikian.

Jihad terbahagi menjadi empat:

1. Jihad melawan hawa nafsu iaitu berjihad melawan hawa nafsu ammarah yang sentiasa inginkan keseronokan dan hiburan melampau yang boleh menjerumuskan kita kedalam lembah kemaksiatan.

2. Jihad melawan hasutan dan godaan syaitan, iaitu berjihad untuk
melawan apa yang dibisik oleh syaitan yang berupa kemaksiatan dan kemungkaran.

3. Jihad melawan orang-orang yang zalim dan pelaku kemungkaran, iaitu berjihad melawan mereka dengan menggunakan tangan, lisan atau hati, sesuai dengan kondisi dan maslahat yang terbaik bagi Islam dan kaum muslimin.

4. Jihad melawan orang kafir dan munafik, iaitu berjihad melawan mereka dengan menggunakan hati, lisan, harta atau jiwa dan inilah yang dimaksudkan sebagai (peperangan menentang orang-orang kafir yang memerangi Islam dan golongan munafik yang sentiasa mengkhianati Islam)

Akhir sekali ialah mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita, iaitu ada ruang dalam hati kecil kita, mahu memperjuangkan Islam walau tergadai nyawa, harta, masa, tenaga, keluarga seperti yang pernah dibuktikan oleh para ulama dalam menghadapi tribulasi ketika berdakwah menegakkan kebenaran agama Islam. Ada yang terbunuh syahid dan ada pula yang sedang menunggu giliran untuk meraih anugerah sebagai golongan syuhada untuk bersama para anbiya di dalam syurga.

“Sesungguhnya umat yang tahu cara mati terbaik, yang tahu bagaimana untuk mati dengan kematian yang mulia, akan dikurniakan Allah kehidupan yang agung di dunia dan nikmat yang kekal di akhirat. Tidaklah mendung yang meliputi kita hari ini melainkan kerana cinta dunia dan takutkan mati. Persiapkanlah diri kamu untuk suatu tugas yang besar. Bersungguh melengkapkan diri untuk mati, nescaya Allah mengurniakan kamu kehidupan. Ketahuilah bahawa mati itu pasti. Ia pula hanya sekali. Jika kamu jadikan mati itu di jalan Allah, maka untukmu keuntungan di dunia dan pahala di akhirat. Tidak akan menimpa kamu melainkan apa yang telah ditentukan Allah ke atas kamu”
“Berkerjalah untuk kematian yang mulia, nescaya kamu akan berjaya dengan kebahagiaan sepenuhnya. Moga Allah mengurniakan kepada kami dan kamu kemuliaan mati syahid di jalan-Nya.” (As-Syahid Imam Hassan Al-Banna)
Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah menjadi hambanya yang beriman dan bertaqwa, Wallahu waliyyut taufiq.