Pengalaman Menguruskan Konvensyen Pakatan Rakyat Perak

Posted: November 9, 2009 in Uncategorized
Tags:

konvo108DSC_0594

Syukur, Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat Negeri Perak,yang berlangsung baru-baru ini berjalan dengan baik sekali.

Satu pengalaman yang amat besar, saya bersama dengan sahabat seperjuangan di bumi Perak telah diamanahkan untuk menguruskan program ini, bagi saya ini satu pengalaman yang baru, menguruskan satu program yang melibatkan tiga parti besar didalam negara ini, PAS, KEADILAN dan DAP.

Bagi saya kesempatan bersama bekerjasama dengan rakan-rakan dari parti lain perlu digunakan sebaiknya oleh kita yang bergerak atas paksi gerakan Islam. Akhlak dan cara kerja kita menjadi perhatian rakan-rakan disekeliling kita.

akhlak adalah satu perkara yang perlu dititik-beratkan oleh ahli gerakan Islam, iaitu menjadikan orang ramai sebagai medium untuk menyampaikan mesej dakwah. Tetapi apapun sebelum melakukan tugas atau usaha dakwah itu, kita perlu menguasai ilmu-ilmu yang teguh di samping menyelami kehendak mereka bagi memudahkan kerja-kerja dakwah.

Usaha dakwah terhadap orang ramai perlu menunjukkan sikap dan akhlak terpuji, apatah lagi ia tidak kelihatan menyanggah sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. seperti , minum atau makan berdiri, memakai pakaian yang tidak dianggap sopan menurut pandangan orang ramai.

Ia bertujuan untuk sampai kepada matlamat sebenar penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus menaikkan taraf mereka sebagai sebaik-baik umat seperti yang ditegaskan Allah melalui ayat 110 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: “Kamu adala sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada umat manusia sejagat, dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”

Saya juga berterima kasih kepada jawatankuasa penggerak yang bersama-sama menjayakan program ini, kepada Dr Khairuddin ( Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ) Yb Khalil Idham Lim ( Ketua Penerangan PAS Perak ) Akh Ismad Shahril ( Penolong S/U PAS Perak ) dan Akh Khalilul Rahman ( SUK PAS Perak ), juga kepada rakan pimpinan penggerak dari PKR dan DAP.

Di sini saya sertakan hasil resolusi Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat Negeri Perak ini:

i. Munajat yang berterusan bagi memohon pertolongan dan keredhaan ALLAH SWT sama ada sewaktu dilanda krisis mahupun tidak.

ii . Kesepakatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu terus diperteguh dan diperkasakan bagi menumbangkan UMNO/BN. Segala bentuk prejudis dan prasangka buruk sesama rakan Pakatan Rakyat perlu dihindari.

iii. Meningkatkan amalan prinsip ‘collective decision’ melalui meja rundingan sebagai kaedah penyelesaian masalah.

iv. Mengukuh dan menggerakkan organisasi parti dengan penekanan serius kepada menubuh dan menggerakkan majlis pemuafakatan Pakatan Rakyat di semua peringkat parti.

v. Menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, NGO dan Istana.

vi. Menampilkan calon berwibawa dan berintegriti sebagai asas dan fokus kemenangan calon Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen. Fokus kepada program pembangunan jatidiri seluruh ahli parti terhadap perjuangan masing-masing.

vii. Meneruskan prinsip 5K Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan memerintah.

viii. Menerus dan memperbanyakkan siri dan media penerangan keseluruh negeri agar rakyat menerima maklumat yang tepat dan pemikiran rakyat tidak dijajah oleh Umno/BN.

ix. Program mewujudkan ‘kebersamaan’ antara parti komponen Pakatan Rakyat perlu segera dilaksanakan agar seleruh ahli Pakatan Rakyat memahami perjuangan rakan seperjuangan.

Leave a comment