TUGASAN BLOG SIW505

IBADAT HAJI DAN KEPENTINGANNYA TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN

Mohd Hafez bin Sabri

Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan ( Pengurusan Pembangunan Islam )

No. Matrik: P-SM 0162/12

Ibadah-ibadah utama dalam Islam adakalanya dilaksanakan dengan lisan atau fizikal atau dengan harta. Solat dilakukan dengan lisan dan fizikal, puasa dengan fizikal sahaja. Zakat dengan harta sahaja. Namun istimewanya ibadah haji kerana ia dilakukan dengan lisan, fizikal dan harta. Tambahan lagi ibadah haji merupakan pelengkap rukun Islam. Rukun Islam umpama sebuah rumah di mana mengucap dua kalimah syahadah dianggap sebagai tapak dan tanah rumah itu. Solat pula merupakan cerucuknya, zakat adalah tiang-tiangnya, puasa adalah bumbung yang melindungi rumah dan haji adalah dindingnya. Jika sekiranya belum mampu memasang dindingnya, ia tidak boleh didiami.

Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan. Selain memerlukan kekuatan fizikal dan mental, ia juga memerlukan kepada pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, berpisah dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, meninggalkan kampung halaman, menahan kemahuan nafsu dan sebagainya. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Imran ayat 97 yang bermaksud:

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Oleh yang demikian, dalam penulisan ini penulis ingin menghuraikan pandangan penulis menurut tasawwur islam berkenaan apa yang tersirat di sebalik ibadat haji berdasarkan kepada tertib permulaan ibadat sehinggalah berakhirnya ibadat tersebut. Penulis juga akan merungkaikan kehebatan ibadat haji yang mana ia benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan orang-orang mukmin.

Tasawwur Umum Berkenaan Ibadat Haji

Imam Syafie mentakrifkan haji dari sudut bahasa bermaksud menuju ke suatu tempat. Manakala dari sudut syarak pula ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam dan hukumnya adalah wajib bagi Muslim yang mukalaf. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Imran : 97 yang bermaksud:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk”.

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Menurut Said Ramadan Al-Buti (1988) ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut sumber yang masyhur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :

“Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk”.

Pada tahun tersebut Rasulullah SAW bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah. Perjanjian itu telah membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya iaitu tahun ke-7 Hijrah, Rasulullah s.a.w telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah s.a.w mengarahkan Sayidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

Nabi kita Muhammad SAW telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan “Hijjatul Wada’ juga dinamakan Hijjatul Balagh, Hijjatul Islam dan Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat.Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam .

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Mekah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ. Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat.

Rasulullah SAW telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah SAW telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

Semasa wuquf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

1. Rasulullah SAW minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wuquf.

2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunggangannya lalu mati, Rasulullah SAW menyuruh supaya mayat itu dikapankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kapannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa “Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah”.

3. Rasulullah SAW menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan “Apakah itu Haji?”. Sabdanya yang bermaksud “Haji itu berhenti di Arafah”. Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.

4. Turunnya ayat suci al-Quran dalam surah Al-Maidah yang bermaksud :

“ Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami”

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah SAW telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Mekah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Namun begitu, penulis ingin menyatakan di sini bahawa sejarah ibadat haji ini merupakan ringkasan daripada penulisan sejarah yang sebenarnya. Oleh yang demikian, dari ringkasan sejarah ini sedikit sebanyak dapat menggambarkan peristiwa ibadat haji pada era zaman Rasulullah SAW pada tulisan berikutnya, penulis akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang falsafah ibadat haji dalam membangunkan pembangunan insan.

Epistemologi Ibadat Haji Dalam Pembangunan Insan

Setelah membicarakan sejarah ibadat haji dalam Islam, penulis mendapati falsafah yang tersirat di sebalik ibadat haji ini sangat memainkan peranan dalam pembangunan insan. Dalam membahaskan falsafah ibadat haji ini, penulis akan memfokuskan falsafah berdasarkan turutan ibadat-ibadat haji yang telah diwajibkan dari mula sehingga berakhirnya ibadat haji tersebut. Penulis juga menjadikan buku Ibadat Haji Umrah Dan Ziarah terbitan Lembaga Tabung Haji (2006) sebagai rujukan utama untuk ibadat-ibadat haji ini. Hal ini akan memudahkan penulis membahaskan tentang falsafah yang terselindung di sebalik ibadat-ibadat haji berdasarkan sumber-sumber yang sahih terutamanya yang mereka yang berpegang dengan Ahli Sunah Wal Jemaah.

Sebelum Pelaksanaan Ibadah Haji

Di dalam ajaran Islam, semua ibadat yang diwajibkan kepada umat Islam mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi supaya ibadat tersebut sah dan diterima oleh SWT. begitu juga dengan ibadat haji, terdapat syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh mereka yang ingin melaksanakan rukun Islam ini.

Antara syarat-syarat tersebut pertama, seseorang itu mestilah beragama Islam dan tidak wajib bagi orang kafir. Kedua, mestilah baligh dan tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh. Tetapi bagi mazhab Syafie, sekiranya kanak-kanak tersebut menunaikan haji maka haji tersebut adalah sah dan dikira sebagai haji sunat. Ketiga, mestilah berakal dan tidak wajib bagi orang gila atau tidak waras. Keempat, mestilah merdeka dan tidak wajib bagi hamba menunaikan haji dan yang terakhir mestilah istito’ah yang bermaksud kemampuan untuk mengerjakan haji.

Kemampuan yang dimaksudkan ini ialah seseorang itu mestilah mampu untuk menanggung perbelanjaan dan nafkah pergi dan balik untuk dirinya. Selain itu, mestilah mampu meninggalkan nafkah untuk tanggungan yang ditinggalkannya. Mempunyai kenderaan pergi balik selain dari perjalanan yang aman. Kesihatan tubuh badan serta ada kesempatan masa juga diambil kira oleh Islam.

Setelah menghuraikan syarat-syarat haji, penulis berpandangan bahwa Allah SWT sebenarnya ingin mengajarkan umat Islam supaya patuh kepada arahan dan berdisiplin. Dari sudut falsafah, Islam sebenarnya Allah SWT tidak mahu umat manusia merasa beban dengan kewajipan ini. Daripada syarat-syarat tersebut Islam tidak menindas mereka-mereka yang lemah seperti kanak-kanak, orang gila dan juga orang-orang miskin. Islam juga menetapkan ibadat haji ini wajib dilaksanakan bagi mereka yang mampu hanya sekali sahaja seumur hidup.

Sekiranya kita berbalik semula pada zaman Rasulullah SAW, baginda sendiri menunjuk contoh dengan melaksanakan ibadat haji sekali sahaja. Walhal, sekiranya melihat kepada kemampuan baginda dan para sahabat pada ketika itu mampu melaksanakan ibadat haji setiap tahun tetapi mereka hanya melaksanakan sekali sahaja. Falsafah Islam mengajar supaya umat Islam patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya supaya akan merasa mudah dan senang dalam melaksanakan ibadat-ibadat ini

Semasa Mengerjakan Ibadah Haji

Setiap ibadat yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan. Ibadat haji khususnya bukan sahaja mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram.

Bagi penulis ibadat haji tidak memungkinkan seseorang itu mencapai kehendak ibadatnya dengan begitu mudah, kita perlu menghadirkan diri kita ke Tanah Suci dengan keadaan yang luar dari kebiasaan. Dalam erti kata lain, kita mesti keluar dari kelaziman dan kesenangan yang diterima selama ini, di mana keadaan di Tanah Suci tidak memberi peluang untuk kita menikmati keselesaan seperti di negara sendiri. Kita terpaksa berkhemah di Arafah dan Mina dengan pakaian putih di atas padang pasir dan membisikkan sesuatu kepada Allah SWT bagi memohon keampunan dan keredaan sebelum kembali kepada-Nya. Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah SWT, sudah tentu ibadah ini mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Haj ayat 28 maksudnya:
Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (hari ma’lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Imam Al-Ghazali menafsirkan hari ma’lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis kelebihan dan fadilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi . Imam Al-Ghazali menambah lagi bahawa yang dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia. Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji.

Bagi penulis, inilah manfaat duniawi yang terbesar sepatutnya dicari oleh para jemaah haji semasa musim haji. Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah SWT sejajar dengan ayat di atas. Semasa melaksanakan ibadah haji ini Allah SWT sebenarnya langsung tidak memandang seseorang itu berdasarkan paras rupa, pangkat, darjat dan sebagainya. Inilah falsafah di sebalik ibadah haji yang dianggap sebagai kemuncak ibadah seseorang Muslim. Mereka yang memahami ibadat haji adalah seperti satu hasrat yang sangat besar untuk menemui Raja daripada segala Raja.

Selain itu kita juga mesti mengetahui bahawa ibadat tawaf itu ibadat yang menyerupai para malaikat yang mengelilingi Arasy dengan jangan menjangkakan maksud tawaf itu keperluan jasad para jemaah untuk mengelilingi Kaabah semata-mata.

Menurut Imam Al-Ghazali maksud tawaf ialah tawaf kalbu dengan zikir mengingati Tuhan Yang Mempunyai Kaabah itu dan ketika beristilam (melambaikan tangan ke arah Batu Hitam, Hajar Aswad) hendaklah beriktikad bahawa kita sedang melakukan janji setia dan ketaatan kepada Allah dan kita yakinkan bahawa kita akan menunaikannya.

Sementara ibadat Saie antara Safa dan Marwa membawakan falsafah ibadat yang begitu tinggi iaitu tidak sekadar memperingati peristiwa Hajar, isteri Nabi Ibrahim yang berulang alik antara bukit Safa dan Marwa sebelum air zam-zam terbit di bawah hentakan kaki anaknya, Nabi Ismail. Saie itu umpama mengharapkan belas kasihan daripada Allah SWT iaitu pergi menghadap-NYA tanpa mengetahui ia mendapat penerimaan yang baik di sisi Tuhan atau sebaliknya. Malah Safa dan Marwa itu seolah-olah kita pergi berulang alik kepada dua neraca timbangan amal di padang Mahsyar. Safa umpama neraca kebaikan dan Marwa pula seolah-olah neraca yang sebaliknya, kita seolah-olah pergi dan datang antara azam dan keampunan.

Kesimpulan

Di antara falsafah haji yang utama ialah haji merupakan rehlah rohaniah atau perjalanan suci berbanding perjalanan yang lain. Perjalanan ini amat penting dan amat lain dari perjalanan yang bersejarah seperti The Silk Road atau perjalanan Ibn Batutah yang terpateri dalam lipatan sejarah.

Ia juga bukan perjalanan seperti melancong ke tempat-tempat yang menarik tetapi perjalanan ini mempunyai pelbagai hikmah dan faedah yang boleh diambil. Di antara kelainan ialah para jemaah haji adalah tetamu Allah SWT. Tetamu ini mendapat jaminan Allah SWT dan di antara keistimewaannya ialah orang yang menunaikan haji cukup dengan rukun dan tertibnya kerana Allah SWT pasti akan dijamin terhindar dari kepapaan. Jemaah haji yang pulang dari Mekah kebiasaannya dimuliakan oleh penduduk kampung masing-masing sebagai kemuliaan dari Allah SWT melalui mata manusia.

Selain itu, banyak kelainan yang dapat dilihat semasa menunaikan fardu haji di Mekah. Perasaan hiba dan kesyahduan selalu menyelubungi naluri dan jiwa insan yang bernama Adam dan Hawa. Mereka saling kuat berazam menunaikan ibadat, berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi lantaran panggilan Tuhan yang menusuk ke sudut hati hasil laungan azan.

Ibadat haji selain daripada berfungsi mensucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat menuju akhirat setelah sekian lama kita hidup di dunia yang fana ini. Sesungguhnya mereka sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT, mereka tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi Allah SWT.

Rujukan

Al-Quranul Karim

Abdul Halim El-Muhammady, 1991, Pendidikan Islam;Falsafah,Disiplin dan Peranan Pendidik,Selangor Darul Ehsan : Dewan Pustaka Islam.

Anisah Bahyah Haji Ahmad 2006, Sejarah Pendidikan Zaman Rasulullah s.a.w, Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ismail Yaakub, 1988, Ihya Ulumuddin Imam Ghazali terj. Kuala Lumpur: Victory

Agensi.

Mahayudin Hj. Yahya, 2005, Tamadun Islam, Selangor: Fajar Bakti.

Muhammad Abdul Wahab, 2000, Peribadi Dan Petunjuk Nabi Muhammad SAW, Kuala Lumpur: Jasmin

Muhammad Uthman el Muhammady, 2010, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 20 Hingga 25 1425h Hingga 1430h, Terbitan Lembaga Tabung Haji.

Mustofa Al-Khin et.al, 2005, Kitab Fikah Mazhab Syafie (Al-Fiqhul Manhaji), terj. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006, Putrajaya : Kementerian Pendidikan

Malaysia (KPM).

Said Ramadan Al-Buti, 1988, Fiqh Al-Sirah terj. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.

Salim Bahreisy, 1980, Sejarah Hidup Nabi-Nabi, Surabaya: Pt. Bina Ilmu.

Sulaiman Hj. Noordin. 1993. Sains, Falsafah dan Islam. Bangi: Penerbit Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Dalam ruangan ini, saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat mengenal kehidupan remaja lantas terus membimbing mereka untuk menjadi pemuda yang beriman, isyaAllah

Setiap kali usrah saya bersama anak muda pastinya kami tidak akan terlepas perbincangan berkenaan generasi remaja di negara kita yang semakin membimbangkan kini.

Melihat kepada senario remaja sekarang yang begitu banyak terlibat dalam masalah dan gejala sosial seperti pegangan agama yang terlalu longgar, hilang kesopanan, adat-adat dan cara hidup, hilang keyakinan terhadap budaya, ingkar terhadap ibu bapa dan sebagainya.

Kita sebagai pemuda yang punyai kefahaman tentang Islam wajib hadir dengan membawa misi bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki senario yang berlaku, mengupayakan remaja agar berfungsi secara aktif dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah remaja itu sendiri.

Di Malaysia remaja dapat di bagahagikan kepada beberapa kategori:

Remaja yang mempunyai masalah dan telah terlibat dalam kancah gejala sosial seperti dadah, arak, judi, jenayah dan sebagainya.
Remaja bandar.
Remaja Peneroka Bandar
Remaja luar bandar.
Remaja Peneroka ( FELDA, FELCRA, & Lain-lain )
Remaja Rumah Pangsa.
Remaja Setinggan
Remaja Nelayan
Remaja yang tidak lagi mengikuti pendidikan formal.
Remaja yang berlatar belakang pendidikan agama.
Remaja yang mempunyai masalah keluarga, kemiskinan.
Remaja yang bekerja.
Sekolah-sekolah ( institusi pendidikan; sekolah )

KITA PERLU MEMAHAMI REALITI REMAJA

Jelasnya komuniti remaja sering menjadi mangsa, anasir negatif yang cuba merosakkan minda, gaya hidup, budaya, tingkah laku dan corak pergaulan mereka. Justeru kita perlu mengambil langkah mengenali segala bentuk dan corak yang cuba digunakan oleh pihak tertentu untuk meracuni cara hidup remaja. Dengan cara ini para remaja dapat memastikan diri mereka mampu keluar dari bentuk dan corak hidup yang silap di dalam meniti perjalanan hidup mereka sebagai seorang remaja.

Berikut saya bawakan beberapa bentuk dan corak budaya negatif yang cuba dibina kepada remaja.

Materialisme – Sikap dan sifat yang mementingkan kebendaan, cuba ditanam dalam diri remaja. Mereka cuba dimomokkan dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian mereka. Segala perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan nilai kebendaaan semata-mata. Hingga ia melahirkan falsafah guna segala sumber alam yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalkan kepada generasi akan datang. Ini kerana segala yang kita miliki perlu kita habiskan hari ini juga. Ini juga menyebabkan lahirnya gaya hidup berbelanja segala pendapatan yang diperolehi, tanpa perlu memikirkan keadaan akan datang. Konsep berbelanja dengan sederhana serta, menjadi pengguna yang bertanggungjawab tidak wujud di dalam nilai kehidupan materialisme ini.

Hedonistik – Budaya hedonistik merupakan, budaya berhibur, bergembira, dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya. Ini terangkum dalam peribahasa barat yang menyatakan ” bergembiralah engkau hari ini, puaskanlah nafsumu hari ini, kerana esok engkau akan mati”. Budaya hedonistik di kalangan remaja kian mudah dilihat dewasa ini. Contohnya hiburan yang dipilih remaja hari ini, sering melangkaui batasan norma sosial masyarakat timur. Misalnya lirik-lirik lagu yang sering didengar oleh remaja kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.

Individualistik – Gaya hidup yang mementingkan diri mula menjalar di dalam perasaan, sanubari dan perlakuan remaja hari ini. Remaja hari ini dimomokkan dengan tema kehidupan menafikan keperluan untuk berkongsi kegembiraan, kehidupan, tenaga, ilmu dan kesihatan bersama orang lain. Mereka berpendapat mereka bebas untuk mencemarkan alam sekitar, kerana itu hak mereka. Mereka bebas untuk bersikap tidak sopan seperti pergaulan bebas kerana itu juga hak mereka. Dalam masa yang sama remaja kini tidak lagi mempunyai sikap untuk membantu orang yang lebih tua, membantu ayah ibu, menyelesaikan masalah sahabat dan semangat gotong royong. Segala nilai murni dalam kehidupan remaja telah diganti dengan gaya penting diri dalam kehidupan moden ini.

Westernisasi ( pembaratan ) – Arus westernisasi mula mengocak dan cuba meruntuhkan segala budaya murni yang dimiliki oleh masyarakat timur. Arus ini cuba meruntuhkan keyakinan remaja terhadap budaya, bahasa, kepercayaan, gaya, dan nilai hidup remaja. Ini jelas dapat dilihat daripada corak pemakaian remaja yang lebih selesa berseluar jeans, berseluar pendek, berbaju ketat dan memakai anting-anting bagi lelaki. Mereka sudah tidak yakin untuk memakai baju islamik milik mereka untuk kemajlis rasmi, malahan dalam kehidupan harian, mereka juga cuba mengelakkan pakaian yang melambangkan bangsa mereka. Dalam soal pemakanan mereka lebih bangga memakan makanan barat seperti McDonald, Pizza Huts sebagai makanan yang melambangkan status mereka. Sewajarnya remaja harus menyedari segala proses westernisasi ini merupakan proses yang dirangka oleh barat, demi untuk menjajah setiap ruang kehidupan remaja dewasa ini.

Nasionalisme sempit – Kita saban hari telah diracun oleh semangat perkauman dan cinta kepada bangsa dan negara yang terlalu sempit. Semangat ini disuntik dan ditanam semenjak kita kecil lagi untuk taksub kepada bangsa sendiri dan negara sendiri. Ini meyebabkan kita melebihkan kelebihan bangsa sendiri dan negara sendiri dan dalam masa yang sama menafikan yang setiap manusia yang diciptakan Allah SWT sama tanpa ada bezanya. Yang membezakan kedudukan sesama manusia hanya iman dan takwa. Kita diberi kefahaman salah iaitu segala yang dilakukan sewajarnya diniatkan untuk bangsa ataupun negara semata-mata. Perkara ini menyebabkan kita tidak mengambil peduli segala permasalahan kemiskinan, penindasan, penjajahan , ketidakadilan, pengeksploitasian dan pembunuhan manusia samaada diperingkat serantau atau antarabangsa. Ini kerana segala kecintaan kita dicurahkan kepada batasan bangsa dan sempadan negara sehingga menafikan perasaan kemanusiaan, keadilan dan keamanan yang melangkaui batasan bangsa dan sempadan negara.

KITA PERLU PUNYAI AGENDA UNTUK MENGEMBANGKAN POTENSI REMAJA

Sememangnya kita mengimpikan remaja yang mempunyai kekuatan untuk menonjolkan gaya hidup murni dan menolak segala anasir negatif, serta bentuk penjajahan yang cuba merosakkan sistem hidup remaja dewasa ini.Perkara ini hanya mungkin berlaku dengan pembinaan nilai baru dalam kehidupan remaja.

Di sini saya ingin memberikan beberapa cadangan untuk membangunkan semula jatidiri remaja hari ini

Keyakinan Pada Islam-

Remaja merupakan aspek dan tunggak utama dalam sesebuah negara. Remaja diibaratkan seperti hati dalam diri manusia yang mana apabila rosak hati tersebut, maka rosaklah seluruh jasadnya. Maka, remaja merupakan hati ataupun nadi kepada sesebuah negara. Seperti mana kata-kata yang selalu didengari :

“Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada pemuda dan pemudinya.”

Justeru, bagi mengatasi masalah keruntuhan akhlak remaja, kita perlulah berbalik kepada teras yang telah dibekalkan iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Selain itu, perlu adanya penyatuan hidup dalam jemaah, tampung-menampung dalam memperbaiki kelemahan dan cakna terhadap masalah yang menimpa orang lain. Ini bagi mengelakkan sifat pentingkan diri ataupun lebih dikenali dengan ‘ananiah’. Seperti mana yang tercatat dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat dengan perkra yang menimpa sahabat semuslimnya, maka dia bukanlah daripada golongan mereka”

Oleh itu, kita perlu siap siagakan diri remaja dari pelpagai sudut ilmu Islam dan kemahiran bagi menegakkan Islam yang bukan sahaja hanya pada nama,tapi Islam pada ‘isinya’

Keberanian –

Keberanian jiwa remaja untuk menolak kehidupan yang berteraskan kehidupan mementingkan diri, materialisme, individualistik dalam kehidupan merupakan satu langkah awal yang penting. Remaja perlu berani mencabar gaya hidup moden yang sering merosakkan minda, fizikal dan budaya hidup. Walaupun anda mungkin akan dianggap oleh rakan-rakan sebagai orang yang anti – sosial, kolot dan menolak cara hidup moden. Tetapi keberanian jiwa remaja untuk menolak segala segi unsur yang sedemian merupakan, satu contoh untuk gaya kehidupan yang murni dan lebih sempurna sebenarnya.

Berilmu –

Keilmuan merupakan teras dalam pembangunan jatidiri seorang remaja. Namun keilmuan perlulah dimenefestasikan dengan pengamalan. Aktiviti membaca dalam kehidupan seorang remaja perlu menjadi amalan setiap detik kehidupan. Keilmuan juga bukan merujuk kepada alam persekolahan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata. Kerana alam persekolahan hanya memerlukan setiap remaja menghafal maklumat dengan tujuan untuk menjawab peperiksaan. Ini bukanlah konsep keilmuan yang perlu ada dalam kehidupan remaja. Sebaliknya keilmuan tersebut merangkumi pembelajaran yang berteraskan keinginan memperolehi ilmu melalui keinginan sendiri yang bertujuan membina peribadi dan membantu sahabat dan masyarakat yang memerlukan.

Disiplin –

Disiplin merupakan asas yang terpenting buat seorang remaja. Disiplin yang utuh dan kukuh menjadi kekuatan menggerakkan pembangunan diri dan menampilkan budaya hidup yang murni. Disiplin sewajarnya dihayati dan diamalkan di dalam setiap aspek dan dimensi kehidupan seorang remaja. Disiplin ini secara mudahnya bolehlah dinyatakan merangkumi persoalan disiplin membaca, disiplin ibadah, disiplin pengurusan diri dan disiplin menguruskan masa harian. Dengan kekuatan disiplin sahaja remaja mampu untuk memertabatkan budaya murni mereka.

Menifestasi Peribadi –

Remaja perlu menonjolkan corak kehidupan yang baik, menarik dan murni. Konsep kesederhanaan perlu ada di dalam kehidupan seorang remaja. Keperluan untuk menolak gaya hidup mewah, membazir, dan tidak berjiwat adalah sesuatu yang wajar. Dalam masa yang sama sikap suka menolong orang tanpa mengira bangsa, agama dan negara perlulah menjadi amalan kehidupan remaja. Dengan mengambil Rasulullah S.A.W sebagai model kehidupan yang murni adalah sesuatu yang perlu. Kita dapat menilai bagaimana ketinggian akhlak, budi pekerti dan segala unsur kebaikan dalam kehidupan Baginda Rasulullah S.A.W. Dalam masa yang sama segala gaya hidup yang menggambarkan pembaziran, sombong, hidup mewah, dan pelbagai unsur lagi ,tidak wujud di dalam kamus hidup Baginda Rasullullah S.A.W.

Budaya Bertindak –

Mula dari apa yang kita ada, Bina dari apa yang kita tahu. Prinsip kerja yang cuba diterapkan dalam jiwa remaja. Golongan remaja perlu menjadi pencetus, penggerak dan penerus dalam gerak kerja kebaikan. Tidak ada alasan yang mengatakan bahawa golongan remaja ini masih muda, mentah dan tidak tahu apa-apa.

Penutup

Gejala sosial yang melanda remaja zaman sekarang berada di tahap yang amat membimbangkan. Maka, semua pihak harus menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini. Ini termasuklah daripada pihak keluarga, sahabat handai, pendidik dan kerajaan sendiri.

Justeru kita perlulah sentiasa menganjur kebaikan; berhasrat mengajak remaja kepada perkara-perkara kebaikan, dengan menyahut seruan agama iaitu amar makruf nahi mungkar, selain itu kita juga perlu berperanan dengan adil dalam usaha membantu golongan remaja kerana dalam usaha membentuk remaja berkualiti, pengupayaan remaja amat penting

Semoga segala panduan di atas dapat kita amalkan dan yang paling utama, jangan kita lupa untuk meminta pada Allah agar dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat kita. Semoga Allah bersama kita sentiasa. InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat mengenal dunia agar kita tidak tertipu dengannya.

Allah SWT pernah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”(Surah Al-Ankabut 64).

Ketika saya bertemu dengan anak-anak muda dalam setiap usrah santai anak muda yang saya hadiri, pasti saya akan menyentuh skitar perbicaraan berkenaan apa ertinya kita hidup di atas muka bumi ini.

Sidang pembaca, semasa hidup di dunia inilah kita dapat menilai dengan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Apakah bekalan yang kita akan bawa ke negeri akhirat yang kekal abadi. Apakah kita bakal mendapat rahmat atau azab di alam barzakh dan di alam akhirat nanti. Jika kita termasuk di dalam golongan yang mendapat azab, maka tidak berguna sesalan di waktu itu. Walaupun kita menangis mengeluarkan air mata darah sekalipun, kita tidak lagi akan diberi peluang hidup kembali ke alam dunia ini.

Oleh itu, sepatutnya kita sentiasa mengingati mati, kerana Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:- Ertinya: Perbanyakan olehmu mengingati perkara yang memutuskan kesedapan iaitu mati.

Nabi Muhammad S.A.W mengingatkan kita supaya jangan kita lalai dengan kesedapan dunia sehingga kita lupakan mati. Mati itu akan memutuskan segala kelazatan dunia. Jika kita lupakan mati, kita juga akan lupakan persiapan dan bekalan yang akan kita bawa sesudah mati. Mengingati mati adalah di antara ubat yang mujarab untuk kita sentiasa dalam keadaan bermuhasabah diri dan bersedia untuk mencari bekalan untuk dimanfaatkan sesudah mati.

Mengingati mati juga akan menjadikan kita tidak tamakkan dunia dan haloba di atas mengumpulkannya. Serta kita boleh pendekkan angan-angan untuk meluaskan kekayaan diri dan boleh memendekkan cita-cita untuk mengejarkan segala perkara yang boleh mendatangkan lalai kepada perintah Allah SWT. Juga agar tidak dihinggapi penyakit cintakan dunia ke dalam hati kita.

 

KITA PERLU KENALI DUNIA AGAR KITA TIDAK TERTIPU DENGANNYA

Dunia itu ialah sesuatu yang tidak ada manfaat di akhirat. Adalah seorang yang amat rugi sekiranya anggota zahirnya bergelumang dengan dunia tetapi dia menyangka dunia itu tidak memberikan kesan kepada hatinya. Orang yang menyangka seperti demikian itu adalah orang yang tertipu walaupun dia beramal dengan amalan apa sekalipun. Walaupun kita sering kali tertewas di dalam peperangan melawan nafsu, tetapi kita mesti memahami bahawa setiap perkara maksiat itu akan mengelapkan hati.

               Kita mestilah menerima hakikat ini walaupun ia terkena pada diri kita sekalipun. Jatuh bangun di dalam perjalanan adalah satu lumrah kepada orang-orang yang berjalan menunju akhirat. Janganlah kita merasa ujub dengan amalan sendiri tetapi terimalah hakikat bahawa kita hanyalah makhluk yang tidak dapat tidak mesti bergantung harap kepada Al Khalik, iaitu Allah SWT . Nabi Muhammad S.A.W bersabda:-

 

Ertinya:- Jikalau dunia itu menyamai di sisi Allah SWT dengan sebelah sayap nyamuk, nescaya tidak akan diberi minum orang – orang kafir walau seteguk air.  

         Hadis ini telah menggambarkan betapa hinanya dunia ini di sisi Allah SWT, Sesiapa yang mengambil sekadar hajat untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah SWT , maka dia tidak tertipu dengan dunia dan barangsiapa yang mengambilnya berlebih-lebihan dengan kadar hajatnya sehingga ia lalai daripada beribadat kepada Allah SWT maka  dia adalah orang yang tertipu dengan dunia.

Dunia ini terlalu memperdayakan manusia kerana elok rupa zahirnya. Tidaklah para anbia’ dan aulia’ bergantung dengan dunia melainkan sekadar menolong mereka untuk beribadah kepada Allah SWT.

            Marilah sedaya upaya kita berusaha untuk mencontohi kehidupan para anbia’ dan aulia’ yang mana mereka itu menjadikan dunia hanyalah sebagai alat bukanya matlamat. Oleh sebab itu, kita perlu sedar bahawa di hujung kehidupan ini adalah kematian. Kematian yang entah bila akan muncul.  Jika kita sentiasa sedar bahawa di hujung kehidupan ini adalah kematian, kita tidak akan menjadi orang yang terlalu sibuk menghimpunkan harta dan tidak terlalu tamak terhadap dunia.

            Ingatlah empat perkara-perkara menjadi racun pembunuh dan Ingatlah ubat-ubatnya

Sesungguhnya :

1.         Dunia itu racun yang membunuh, zuhud itulah ubatnya.

2.         Harta itu racun yang membunuh, zakat itu adalah ubatnya.

3.         Berkata-berkata yang sia-sia itu racun yang membunuh, taat itulah ubatnya.

4.         Sekalian tahun itu racun yang membunuh, bulan Ramadhan itulah ubatnya.

Jika kita dapat menggunakan ubat ubat itu dengan baik maka kita akan berjaya melepaskan diri daripada racun- racun yang membunuh itu.

            Bisa racun- racun itu merosakkan jiwa dan seterusnya akan membunuhnya. Sehingga hati menjadi mati. Apabila hati sudah mati maka kebenaran dan kebatilan adalah sama sahaja di sisinya. Sudah tidak ada bezanya di antara dosa dan pahala yang penting memuaskan nafsu syahwat. Inilah di antara gambaran dunia yang fana ini. Moga-moga Allah SWT mencampakkan ke dalam hati kita sifat zuhud. Agar tidak terpedaya dengan godaan dunia.

Para Ulama’ menyatakan jika kita ada di rumah, biarlah rumah di atas tapaknya tidak masuk ke dalam hati. Kalau kita ada kereta, biarlah kereta itu ada di bangsalnya tidak dapat masuk ke dalam hati. Kalau kita ada harta biarlah harta itu di tempatnya dan tidak masuk ke dalam hati.

Itulah zuhud pada maknanya, orang-orang berharta juga boleh berzuhud dengan dunia, maka zuhud itu masalah hati. Semoga Allah SWT membimbing kita di dalam menjalani kehidupan di akhirat. 

KITA PERLU SABAR MENGHADAPI UJIAN DUNIA

            Sebelum kita menemui kematian kita akan tempuhi pelbagai ujian dan dugaan di dalam dunia ini. Dunia ini adalah tempat ujian . Tidak ada manusia yang tidak menempuhnya. Maka sabar adalah senjata utama menghadapi segala ujian di dunia ini. Semoga Allah SWT menjadikan kita dari kalangan hambaNya yang sabar.

            Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada sesuatu yang tidak disukai seperti ditimpa musibah. Sabar juga adalah dapat menahan lidah dari mengadu sesuatu kesusahan kepada orang lain terlebih dahulu sebelum mengadu kepada Allah SWT. Di antara penghalang kepada seseorang untuk bersabar adalah sifat besar diri atau ego. Orang yang bersifat ego ini tidak akan mampu untuk menahan sabar, Contohnya seorang yang berjawatan tinggi, apabila kedudukannya diganti oleh orang lain, dia tidak boleh menerimanya kerana menganggap dirinya lebih layak. Maka dia tidak akan mampu bersabar.

Sayyidina Ali R.A menyatakan bersabar itu ada tiga jenis :

 Pertama : sabar di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

 Kedua : sabar menahan diri daripada melakukan maksiat.

 Ketiga : sabar ketika menerima musibah.

Sesiapa yang sabar di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT . Maka Allah SWT akan memberikan kepadanya seratus darjat yang mana setiap darjat jauhnya antara langit dan bumi. Demikian jugalah sabar dalam meninggalkan maksiat. Sesiapa yang bersabar ketika menerima musibah maka Allah SWT akan mengurniakannya pahala yang tidak terhitung. Semua kurniaan ini akan kita dapati di akhirat kelak.

Biarlah kita susah sedikit di dunia ini, bersabar sedaya upaya yang mampu, kerana kita tidak akan mampu bersabar dengan azab Allah SWT di dalam kubur dan alam akhirat. Sungguh penting sekali sifat sabar bagi kita yang sedang berjalan ke alam akhirat, kerana di dalam perjalanan ini kita akan berdepan dengan ranjau dan duri serta halangan-halangan yang boleh merosakkan diri dan jiwa kita. Bersama-samalah kita memohon pertolongan Allah SWT.

Semoga segala panduan di atas dapat kita amalkan dan yang paling utama, jangan kita lupa untuk meminta pada Allah agar dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat kita. Semoga Allah bersama kita sentiasa.

Saya mendoakan agar kita semua terus diberi hidayah dari Allah SWT, agar dapat kita menjadi pemuda yang dicintai Allah SWT.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

AYUH BIMBINGLAH SAHABAT ANDA

Posted: July 19, 2012 in Uncategorized

Saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat membimbing sahabat-sahabat kita untuk kembali mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna.

Ketika saya bertemu dengan anak-anak muda dalam setiap usrah santai anak muda yang saya hadiri, pasti saya akan mengamalkan prinsip yang menjadi pegangan saya dalam berdakwah selama ini.

Pemudalah kunci utama yang membuka pintu – pintu kebangkitan , seperti kata – kata Imam Syahid Hasan Al Banna : “Pemuda di setiap umat adalah kunci kebangkitannya”

Mantiq pemuda membawa kita kepada suatu simpulan natijah; jika rosak pemuda maka rosaklah juga generasinya.

Namun, kerana ianya sebuah kunci , maka ia menentukan titik jatuh naik sesebuah umat . Kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia mengajar kita pengajaran berguna, di mana aset pemudanya dilalaikan dengan syahwat, hiburan yang melampau, juga keduniaan yang memasuki hati setelah lama diracuni. Tamadun yang hebat suatu ketika dahulu telah pun tiada dek kerana kisah duka aib yang melanda pemudanya, berterusan di serang dari berbagai arah.

Sidang pembaca sekalian, setiap pemuda mempunyai potensi besar bagi merubah keadaan sekelilingnya. Setiap dari jiwa-jiwa pemuda mampu membawa sahabat-sahabatnya agar kembali mengenal Islam. Bagi saya kini sudah saatnya setiap para pemuda memikirkan dengan serius bahawa siapa lagi yang akan memperjuangkan Islam di tengah-tengah masyarakat ini kalau bukan mereka?

Ketika ada sahabat-sahabat kita yang tidak solat, suka bercampuran lelaki dan perempuan, mendengar muzik-muzik yang membawa kepada kemaksiatan dan banyak aktiviti kemungkaran lainnya maka yang paling efektif menyedarkan mereka adalah sahabat-sahabatnya sendiri.

Justeru, terlebih dahulu kita jangan berasa panik, jangan merasa berat dengan tugas sebagai pemuda Islam yang kita bebani. Disini saya sediakan beberapa tips agar kita sentiasa optimis dalam melaksanakan seruan kebaikan kepada sahabat-sahabat kita.

1.    Niat

Dari awal, niatkan semua usaha yang kita lakukan hanya karena Allah semata. Jangan sampai ada niat untuk sombong dan merasai hanya kita sahaja yang baik. Juga jangan sampai kita menganggap teman yang sedang kita dakwah itu jahat dan tidak boleh berubah. Petunjuk itu dari Allah, Lakukanlah usaha dakwah semaksimum mungkin dalam menyedarkan sahabat-sahabat kita dan jangan lupa berdoa untuknya agar segera kembali ke jalan yang benar. Kerana, tidak ada manusia yang mampu memberi hidayah bila sudah disesatkan oleh Allah dan tidak ada yang mampu menyesatkan bila seseorang itu sudah diberi petunjuk oleh Allah.

2.    Laksanakan apa yang kita katakan

Cakap memang senang, tapi melaksanakan apa yang kita cakap memerlukan kesungguhan. Jika kita bercakap tanpa melakukan apa yang kita cakap, maka orang lain terutama sahabat-sahabat kita tidak akan percaya pada kita lagi. Misalnya, kita mengingatkan kepada sahabat-sahabat kita bahawa “ bercouple” haram dan dosa tapi kita sendiri “ bercouple”. Selain dosa karena kita (berdua-duaan dengan dengan pasangan couple kita yang yang bukan mahram), kita juga berdosa kerana kita berbohong kerana kita bercakap perkara yang kita tidak laksanakan. Emmmm Double dosa kita tu.

3.    Gunakan Al Quran dan Hadits dalam berdakwah

Dalam berdakwah, pastikan kita menggunakan Al Quran dan hadits sebagai acuan utama terlebih dahulu, bukan kata si A dan si B atau bahkan kata nenek moyang semata-mata. Kita perlu banyakkan membaca buku-buku keislaman dan fahamilah wawasan keislaman itu sendiri. Jangan sampai kita menyampaikan sesuatu yang kita tidak ada ilmu tentangnya. Jadikan sirah Rasulullah SAW dalam berdakwah sebagai panduan kita ketika berdakwah di lingkungan sahabat-sahabat kita.

Kita perlu tahu bahawa, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah di semua kalangan termasuk juga kepada para remaja dan pemuda. Salah satunya adalah ketika ada seorang pemuda yang mendatangi Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasul, saya ingin masuk Islam tapi saya masih ingin berzina.” Apa jawab Rasulullah SAW? Bukannya marah tapi beliau dengan tenang menjawab, “ Kamu punya ibu? Punya saudara perempuan? Bagaimana perasaanmu bila ibu atau saudaramu yang perempuan dizinai oleh laki-laki?” Sejak saat itu, pemuda tersebut langsung bertaubat, masuk Islam dan tidak pernah lagi melakukan zina.

4.    Berbicaralah seakan-akan baru mengenalnya

Maksud dari point ini adalah, jangan berusaha untuk mengetahui tentang seseorang hanya dengan melihatnya sekilas saja. Berbicaralah dengan ramah dan penuh perhatian sehingga orang yang akan didakwahi merasa tenang dan kemudian percaya pada kita. Misalnya, seseorang yang mengaku dirinya muslimah tapi pakaiannya tidak malambangkan ciri-ciri muslimah sehingga menampakkan aurat. Jadi Janganlah kita terus berfikiran negativ terhadapnya dan melemparkan tuduhan bahawa dia seorang yang durhaka karena tidak menutup aurat.

Kenalilah kepribadiannya lebih jauh, Karena boleh jadi ia berpakaian seperti itu bukan karena ingin melanggar perintah Allah, tetapi dia benar-benar tidak tahu batasan aurat perempuan dalam Islam. Atau mungkin salah seorang teman kita yang tak pernah solat Jumaat. Kenalilah dirinya dengan lebih mendalam dan jangan  ber-prasangka buruk terhadapnya terlebih dahulu. Kerana ada banyak lelaki yang tidak solat Jumaat karena keluarganya tidak pernah mendidiknya dan ia pun tidak tahu hukumnya. Jadi , tugas kita adalah mendekati orang-orang seperti ini untuk memberikan pencerahan bagi kehidupannya sebagai seorang muslim yang baik.

5.    Senyumlah

Tahukah kita bahwa Rasulullah SAW itu sangat suka senyum.Senyum,berperilaku sopan dan baik adalah sikap Rasulullah SAW yang harus kita amalkan sehari-hari. Jika kita ingin orang lain dekat dan menerima dakwah kita maka pastikan kita bersikap ramah pada mereka. Senyum adalah salah satu kunci dari keramahan ini

Yang patut diingat berkenaan senyum disini adalah ramah secara umum dan tidak bermaksud untuk menarik perhatian mereka yang bukan mahram dengan kita. Bagaimanapun Islam mempunyai aturan dalam berinteraksi dengan mereka yang bukan mahram, dan jangan jadikan alasan untuk berdakwah kita boleh berdua-duaan dengan sesiapa yang bukan mahram dengan kita, Justeru agar tidak timbul fitnah, usahakanlah fokus dakwah kita pada sesama jenis. Lelaki berdakwah kepada sahabat-sahabat lelaki begitu juga wanita dakwahnya juga ke lingkungan wanita terlebih dahulu.

6.    Tunjukkan Islam itu sesuai untuk semua kalangan

Sering pemuda menganggap bahawa Islam itu kuno dan ketinggalan zaman. Tunjukkan pada mereka bahwa pendapat ini salah. Tunjukkan pada mereka bahwa Islam itu berasal dari Allah yang tentu saja sesuai dengan zaman apa pun dan bagi siapa pun termasuk para pemuda. Yakinkan mereka bahwa Allah begitu dekat bahkan melebihi urat nadi kita sendiri. Allah juga Maha melihat dan maha mendengar. Allah tempat meminta dan tumpuan semua keluh kesah dan gundah kita. Tunjukkan juga bahwa Islam adalah agama yang sesuai dengan mana-mana zaman sekalipun. Islam mempunyai semua jawapan yang diinginkan pemuda tentang pencarian jati diri yang tidak semua agama dapat menjawabnya.

8.    Libatkan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan

Ajak para pemuda itu untuk terlibat dalam kegiatan sosial. Misalnya dengan mengadakan khidmat masyarakat di daerah-daerah miskin agar mereka lebih menghargai sesama manusia dan pandai bersyukur. Atau boleh juga mengajak mereka menjadi jawatankuasa atau peserta program-program keislaman untuk para pemuda. Keterlibatan seperti ini akan membuatkan mereka menjadi sebahagian dari umat dan rasa diri mereka dihargai. Jangan lupa setelahnya kita harus berterima kasih atas apa yang telah mereka lakukan kerana telah bersama menjayakan program tadi.

9.    Tanyakan 4 pertanyaan dasar

Apabila ukhuwwah antara kita dan sahabat-sahabat semakin kuat, topik yang dibahas biasanya semakin serius. Kita boleh berdiskusi tentang cita-cita dan rencana mereka di masa depan. Ada 4 pertanyaan yang dapat mengarahkan topik agar para pemuda lebih mengenal Allah dan Islam:

1.    kemanakah aku setelah kehidupan ini berakhir?

2.    apa yang membuatkan aku bahagia?

3.    Kepada siapakah aku seharusnya berterima kasih dan bersyukur?

4.    apakah aku boleh berjaya tanpa bantuan orang lain?

 

10.    Tekankan solat wajib 5 kali sehari sebelum kewajipan lainnya

Hubungan dengan Allah secara peribadi itu ada pada kewajipan sholat 5 waktu. Jangan kita tekankan perkara lain terlebih dahulu sebelum kesedaran untuk solat wajib 5 waktu dapat terlaksana dengan baik. Nyatakanlah bahawa dengan solat sahaja hubungan dengan Allah terjalin secara langsung tanpa perantara. Hanya Allah sahaja tempat bersandar jika manusia menghadapi masalah. Solat adalah saat yang tepat untuk meminta pertolonganNya. Dan lebih baik, usahakan untuk solat berjamaah ketika kita bersama dengan mereka. Ketika solat ini sudah dijalankan dengan konsisten, maka hal-hal lain akan lebih mudah untuk diingatkan, contohnya kita mendidik mereka agar menjaga adab dan sopan dalam berbicara, patuh pada ibu ayah dan cara berpakaian yang menutup aurat sesuai dengan syariat Islam. 

11.    Bantulah mereka untuk menghormati orang yang lebih dewasa

Biasanya para pemuda memandang orang dewasa dengan pandangan yang serong seolah-olah dunia mereka benar-benar berbeza. Orang dewasa dianggap tidak pernah memahami dunia anak muda dengan tepat. Justeru, dalam hal ini kita mesti berperanan untuk menumbuhkan rasa percaya pada para pemuda terhadap orang dewasa. Contohnya dengan memuji seorang penceramah yang kena di hati anak muda, para aktivis yang mengambil berita tentang dakwah demi kebangkitan umat dan lain-lain. Memang  merubah sudut pandang mereka bukanlah mudah tapi paling tidak mereka nantinya akan memahami pendapat orang tua mereka di rumah.

12.    Jangan tinggalkan mereka ketika mereka sedang lemah

Ingat, ketika seseorang sudah mula menjalankan ajaran-ajaran Islam dengan teratur, tidak bererti urusan kita dalam dakwah sudah selesai. Akan ada ujian dan cubaan dalam hidup yang kadang-kadang membuat seseorang itu futur/down atau lemah iman. Ada kalanya mereka akan mempersoalkan dimanakah keadilan Allah disebabkan mereka menjalani hidup yang sulit. Dampingilah para pemuda ini untuk kembali menemukan jati diri keislaman mereka, berukhuwwahlah dengan mereka dengan sebenar-benar ukhuwwah.

Semoga beberapa tips di atas dapat kita amalkan untuk mendekati sahabat-sahabat kita dalam berdakwah. Dan yang paling utama, jangan kita lupa untuk meminta pada Allah agar dipermudahkan langkah dan juga lisan kita dalam menyampaikan kebenaran. Semoga Allah bersama kita sentiasa.

Saya mendoakan agar kita semua terus diberi hidayah dari Allah SWT, agar dapat kita menjadi pemuda yang dicintai Allah SWT.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah kita sebagai generasi muda dapat meraih cinta Allah.

Tajuk ini sering saya bincangkan dalam setiap kali pertemuan atau usrah saya bersama anak muda.

Masa muda adalah masa yang paling menyeronokkan, Masa muda inilah dimana kita sedang mencari identiti diri kita yang sebenar untuk menempuh kehidupan dunia yang mencabar dimasa hadapan. Pengalaman ketika di usia muda ini akan dibawa ke alam dewasa dan bakal mencorak kehidupan kita dimasa hadapan kelak. Justeru semestinya semasa berada di masa muda banyak ujian dan cabaran yang terpaksa kita hadapi.

Masa muda inilah kita semakin mengenal erti kehidupan. Ini kerana sebelum ini kita berada di alam kanak-kanak . Pada zaman kanak-kanak kita masih tidak mengenali erti kehidupan lagi. Pada masa muda inilah kita semakin mengenali siapa diri kita, apa yang kita minat dan sebagainya.

Justeru kita sebagai pemuda muslim perlu membina dan memiliki kekuatan agar menjadi pemuda yang lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT, lalu apakah yang perlu diperkuatkan oleh kita?

Justeru saya teringat pesanan Syeikh Dr Yusof Al Qardhawi, beliau menyatakan sekurang-kurangnya ada 3 perkara yang perlu diperkuatkan oleh pemuda.

Pertama, Iman, Iman merupakan sinergi antara tasdiqun bil qalbi, iqrarun bil lisan dan ‘amalun bil arqan. Inilah iman yang benar, sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menghunjam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap saat memberikan buahnya yang lazat untuk manusia dan makhluk sekelilingnya.

Menurut As Syahid Syed Qutb, orang yang memiliki iman yang kuat hanyalah orang-orang yang tidak menjadi hamba-sahaya dari siapapun selain Allah, dan tidak mengikuti siapapun kecuali RasulNya. Generasi beriman ini hanyalah orang yang dengan setulus hati percaya bahawa ajaran Allah dan RasulNya adalah kebenaran yang mutlak, dan apa pun yang bertentangan dengannya adalah sesat, dan apa pun yang baik bagi manusia dalam hidup di dunia ini mahupun di akhirat nanti seluruhnya telah terkandung dalam ajaran-ajaran Allah dan UtusanNya.

Seseorang yang beriman sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran ini adalah orang yang selalu mencari petunjuk dari ajaran Allah dan RasulNya dalam setiap langkah-hidupnya.

Keduanya kekuatan akhlak. Akhlak merupakan buah kepada keimanan. Orang yang imannya kuat dan berada dalam keadaan baik akan menghasilkan akhlak dan peribadi yang menyenangkan orang lain. Mereka yang memiliki kekuatan iman akan terlebih dahulu memperlengkapkan dirinya dengan akhlak yang yang mulia. Rasulullah SAW sendiri sebagai model terbaik kita menjadi teladan ditengah-tengah para sahabat.

“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (al-Qalam: 4)

Rasulullah SAW mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Saidina Abu Bakar menyusul pula sebagai penerus perjuangan risalah Rasulullah SAW, beliau merupakan tokoh yang disenangi dan mudah berkomunikasi dengan orang ramai lagi berakhlak mulia. Dan semua kepimpinan Islam dan para ulama terdahulu memiliki kekuatan akhlak yang luarbiasa. Kini giliran kita mempersiapkan diri dengan kekuatan akhlak agar umat ini mampu memimpin kembali tamadun manusia.

Memperindahkan akhlak memberi kesan besar kepada masa depan kita di dunia dan di akhirat. Bahkan ianya memberi pulangan lumayan kepada empunya diri.

Kekuatan ketiga menurut Syeikh Dr Yusof Al Qhardhawi ialah kekuatan ilmu pengetahuan agama. Maka kita harus kaya dengan ilmu pengetahuan agama. Pemuda Islam yang miskin dengan ilmu pengetahuan agama dan tidak memahami misi dan visi Al Quran dan perjuangan Rasulullah SAW akan dipandang remeh dengan sebelah mata oleh musuh-musuh Islam, bahkan dia tidak akan mampu mempersembahkan Islam dalam bentuk yang syumul, lengkap dan tepat. Kefahaman dirinya terhadap Islam juga akan pincang dan lemah.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qardawi, ilmu-ilmu agama merupakan alat bagi kita untuk menyelesaikan banyak perkara. Kebanyakan pemuda Islam hari ini semakin longgar ikatan mereka dengan Islam, ada yang tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak tahu membaca al-Fatihah, tidak menutup aurat, minum arak, berzina, dan sebagainya yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT, akibat tidak memperdalami ataupun duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Maka merekalah sasaran kita, bagaimana mungkin kita mampu untuk memperkata sesuatu mengenai agama bagi menasihatkan mereka jika kita sendiri tidak menguasai ilmu-ilmu agama. Malah yang bukan Islam juga semakin menunjukkan minat untuk tahu, apakah sebenarnya Islam, adakah ia satu agama yang menyuruh penganutnya supaya bertindak ganas, ataupun agama yang mendidik .

Allah SWT berfirman:

“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat.” ( Al-Mujadilah: 11)

Dan sebaliknya orang yang jahil akan ilmu agama-Nya disebutkan oleh Allah sebagai seorang yang buta yang tidak dapat melihat kebenaran dan kebaikan. Allah SWT berfirman:

“Apakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu adalah al-haq (kebenaran) sama dengan orang yang buta? (tidak mengetahui al-haq).” (Ar-Ra’d: 19)

“Katakanlah (ya Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)?.” (Az-Zumar: 9) 

Sidang pembaca sekalian di usia muda inilah anda perlu menghargai setiap masa yang ada. Jangan sia-siakan masa yang anda ada dengan melakukan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak dengan membuang masa, merempit di jalanan, berdating dengan pasangan dan banyak lagi. Sebaliknya anda hendaklah gunakan setiap masa yang ada dengan menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin kerana di masa muda ini, anda masih belum mempunyai dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab yang berat berbanding dengan orang dewasa.

Biasanya semasa di alam muda, minda dan ingatan seorang muda masih lagi segar dan kuat. Gunakanlah ia dengan sesuatu yang dapat memberi faedah yang berharga kepada diri sendiri dan juga orang lain. Sewaktu muda ini banyakkanlah membaca, belajar dan mengulangkaji segala ilmu. Ilmu Allah SWT itu sangat luas mungkin anda tidak mampu untuk mempelajari semuanya tapi berusahalah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan anda selagi terdaya. Jadikan budaya menuntut ilmu sebagai hobi anda pada setiap masa.

Ilmu yang anda tuntut bukan hanya perlu tertumpu kepada ilmu-ilmu akademik yang dipelajari disekolah atau di universiti sahaja. Sebaliknya cuba terokai ilmu-ilmu lain selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat islam. Apabila anda mendalami ilmu dalam banyak bidang lain ia akan dapat memberikan kekuatan dan membuatkan anda menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai. Anda juga tidak akan mudah diperdaya oleh orang lain yang lebih dewasa dari anda walaupun mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dari anda.

Setiap tindakan yang anda lakukan adalah melambangkan kebijaksanaan dan kematangan anda dalam melakukan sesuatu perkara. Setiap tindakan yang anda lakukan akan sentiasa diperhatikan oleh orang lain disekeliling anda. Jika buruk tingkah laku anda maka buruklah pandangan orang lain terhadap anda. Maka sentiasalah kita lakukan perkara yang membawa kebaikan dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Ini kerana orang lain akan menyukai sikap anda dan akan menghormati anda. Buatlah sesuatu perkara yang akan menyenangkan hati sesiapa sahaja yang berada disekeliling anda.

Ramai orang berpandangan bahawa usia muda adalah masa untuk bersuka ria, berseronok, bergembira dan sebagainya. Memang tidak salah untuk hidup bersuka ria dan berseronok, namun ianya tidak boleh berlebihan sehingga mengabaikan pegangan agama dalam diri. Ramai pemuda yang hidup dalam keseronokan sehingga mengabaikan suruhan dan larangan agama.

Ramai juga dikalangan generasi muda yang beranggapan bahawa hidup mereka masih lagi panjang. Ramai yang sering mengabaikan ibadah terutamanya solat. Ramai yang merasakan yang bila dah tua nanti barulah nak solat. Masa muda ni nak enjoy dulu, Cuma beberapa persoalan yang ingin saya tanyakan, adakah kita merasakan yang hidup kita akan sampai ke tua? Adakah kerana kita muda kita tidak mungkin akan mati? Bagaimana agaknya kalau Allah telah memanggil kita semasa kita masih lagi dalam keadaan yang tidak bersedia di usia yang masih muda kerana sering mengabaikan ibadah?.

Justeru itu, sebagai kesimpulannya, jangan jadikan kehidupan di usia muda sebagai sebab untuk kita hidup bebas di usia ini. Gunakanlah sepenuhnya masa usia muda  supaya anda dapat memberikan manfaat kepada diri sendiri,keluarga, masyarakat dan negara.

Saya mendoakan agar kita semua terus diberi hidayah dari Allah SWT, agar dapat kita menjadi pemuda yang dicintai Allah SWT.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini ialah bagaimana untuk menarik lebih ramai generasi muda agar kembali menghayati dan melaksanakan tuntutan Islam terhadap diri mereka. Tugas ini sememangnya tidak mudah, memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih “menyeronokkan”.

Dalam, ruangan Hayya Syabab kali ini saya akan mengupas satu perbincangan menarik ketika saya bertemu dengan pemuda yang punyai bakat dalam sukan BMX dan basikal Fixie namun yang menariknya mereka bukan sahaja berbakat dalam sukan ini, bahkan mereka dapat membahagikan masa mereka dengan baik dalam melaksanakan tugasan dakwah diwaktu yang lain dalam kadar kemampuan mereka.

Alhamdulillah saya sempat berusrah dengan dua orang pemuda ini dan sempat berkongsi pandangan dengan mereka berkenaan solusi terbaik dalam menangani masalah anak muda yang semakin jauh dengan Islam.

Pertamanya, bagi saya generasi muda sekarang tidak lagi seperti generasi muda beberapa dekad lalu, mereka kini lebih terdedah dengan maklumat dan pengaruh luar akibat globalisasi, yang mana akhirnya menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara yang melalaikan sehingga melupakan ajaran agama dan adat ketimuran yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Bukan sekadar tidak ke masjid, malah ibadah solat fardu pun sudah dialpakan.

Mereka nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk maleksanakan amal islami.

Saya memulakan perbincangan dengan menyatakan bahawa proses tarbiah dan bimbingan Islam kepada generasi muda harus terus dipergiatkan. Jika anak-anak muda ini sudah mendapat kefahaman yang benar mengenai agama Islam, insyaAllah mereka akhirnya akan komited untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan, termasuk memahamkan mereka bahawa segala aktiviti yang mereka lakukan adalah ibadah.

Salah seorang dari pemuda ini juga sempat menyatakan pandangan beliau, baginya sokongan daripada masyarakat setempat dalam memastikan pemuda pemudi kembali kepada cara hidup Islam juga perlu diambil kira. Lebih khusus lagi, aktiviti dan persekitaran sesebuah kawasan perumahan itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula generasi muda mengahayati cara hidup Islam sesuai dengan zaman mereka.

Bagi saya ada benarnya pandangan pemuda ini, lantas saya teringan akan kata-kata Saidina Umar Al-Khatab R.A, “Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya.”

Berpandukan sedikit pengalaman yang saya dalam dunia dakwah anak muda, terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dianjurkan masyarakat setempat  untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini. Antaranya ialah:

1. Rekreasi

Anak-anak muda sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran. Antara jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat setempat ialah perkhemahan, berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt) dan explorace. Jangan lupa untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.

2. Sukan

Majoriti anak muda sekarang memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini, masyarakat setempat boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau dapat diadakan pertandingan sukan antara taman atau kampung, pasti bertambah kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid.

3. Kesenian dan kebudayaan

Ramai juga anak muda yang meminati bidang seni. Justeru, bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh masyarakat setempat. Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni mempertahankan diri, pentomen dan teater.

4. Pertandingan kreatif

Di samping itu adakanlah aktiviti berbentuk pertandingan kreatif yang khusus disertai oleh golongan remaja dan belia. Contoh pertandingan ialah pertandingan filem pendek, pertandingan melukis komik, pertandingan kuiz isu Palestin, pertandingan flash, pertandingan foto bermesej, pertandingan mereka bentuk laman web masjid, Akademi Khatib dan sebagainya. Pastikan promosi pertandingan ini disebarkan seluas mungkin dengan penyediaan hadiah yang mampu menarik minat anak-anak muda untuk menyertainya.

InsyaAllah jika semua cadangan-cadangan diatas dapat dilaksanakan dengan baik oleh masyarakat setempat, saya percaya hasrat kita untuk membuatkan generasi muda hari ini beramal denga cara hidup Islam akan beroleh kejayaan.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan dalam edisi kali ini, insyaAllah jika dizinkan Allah SWT kita akan berkongsi lagi berkenaan cerita-cerita dan idea yang menarik daripada anak muda untuk dikongsikan dengan sidang pembaca sekalian.

Marilah bersama kita realisasikan kerja dakwah ini di tempat kita sendiri, perlu diingat bahawa suatu kerja besar yang hendak dilakukan sangat memerlukan pengorbanan yang besar.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam aktiviti anak muda dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

     

     Sepanjang sejarah peradaban manusia kita sering melihat bahawa kejayaan manusia biasanya ditentukan oleh sejauh mana usaha mereka untuk mencapai tujuannya, tidak ada kejayaan kepada orang yang berpangku tangan, tidak ada kemenangan dianugerahkan kepada mereka yang tidak mahu mengubah cara hidup mereka, tidak ada kemuliaan dan kedudukan tinggi yang disematkan kepada orang yang malas melainkan kejayaan itu akan datang hanya  kepada manusia yang hari-harinya diisi dengan usaha dan doa.

 

Bagi  seorang muslim, lihatlah di luar sana, sangat banyak manusia berusaha meraih impian mereka, dengan beragam usaha, bahkan ada yang tidak peduli apa yang dilakukan benar atau salah, halal atau haram dari cara yang mereka tempuh. Hari- hari mereka, waktu dan terjaganya mata mereka, didedikasikan untuk tujuan dan impian tersebut, walaupun jalannya itu jalan kejahatan. Ada pun kita, semestinya sangat mendambakan prestasi yang terbaik sebagai hamba Allah bahkan inilah dambaan sebenar yang perlu ada kepada setiap manusia. Maka, sebab apa yang membuatkan kita kalah  dibanding usaha mereka? Faktor apa yang menyebabkan kita terdiam padahal mereka bergerak, dan apa yang menyebabkan kita tertunduk ketika mereka tegak? Padahal kita sedang memperjuangkan kemuliaan, iaitu ilmu, iman dan amal. Kita sedang memperjuangkan warisan kenabian, kita sedang  memperjuangkan syarat mutlak bagi kemakmuran dunia dan akhirat, Maka berusaha dan berdoalah serta teruskan perjuangan teman-teman.   

 

Berusaha untuk kejayaan adalah  Perintah agama.

 

Islam adalah agama yang memanggil umatnya untuk bergerak.

 

Allah SWT  berfirman:

 

Dan Katakanlah: “Bekerjalah kalian , maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu …”( AT Taubah (9): 105)

 

Di dalam ayat ini terdapat suatu peringatan penting dari Allah SWT, sesungguhnya pekerjaan kalian tidaklah tersembunyi bagi Allah SWT, tidak pula bagi RasulNya dan orang-orang beriman. Maka, bersegeralah melakukan pekerjaan yang baik dan ikhlaskanlah pekerjaan kalian hanya untuk Allah SWT. Dalam ayat ini juga terdapat sesuatu untuk menyemarakkan semangat kita berusaha, maka siapa saja yang tahu bahwa perbuatannya tidaklah  tersembunyi (dari penglihatan Allah), baik pekerjaan yang baik atau buruk, maka hendaknya dia bersegera melaksanakan pekerjaan yang baik dan menjauhi perkara yang buruk.” 

 

Karena Usaha Adalah Sunnatullah Kehidupan di Dunia.

 

 Benar, bahwa berjaya dan gagal adalah ketentuan Allah SWT, tetapi kita dituntut untuk mengusahakan sebab-sebabnya.

 

 Allah SWT  berfirman:

 

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan  yang ada pada diri mereka sendiri. ( Ar Ra’du (13): 11)

Para ahli tafsir mengatakan bahwa Allah SWT tidak akan merubah nasib suatu kaum kecuali jika kaum itu mahu merubah sebab-sebab yang membuat mereka mundur. Sebab-sebab itu ada dua macam, yakni sabab syar’i dan sabab kauni

 

  1. Sabab Syar’i, iaitu  sebab yang dilakukan seorang hamba atau kaum,  berupa merubah hubungannya  dengan Allah SWT.   Jika dia merubah hubungan dengan Allah SWT kearah yang buruk, dari taat menjadi maksiat, rajin ibadah menjadi malas, berbakti kepada orang tua menjadi durhaka dan sebagainya,  maka Allah SWT  pun akan merubahnya kearah yang buruk,  sesuai perubahan yang dibuatnya. Jika dia merubah hubungan dengan Allah SWT  kearah yang baik, sebelumnya maksiat menjadi taat, malas ibadah menjadi rajin, melawan orang tua menjadi berbakti, dan sebagainya, maka Allah  SWT   pun merubahnya menjadi  baik.

Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan suatu kaum) berupa kenikmatan, kebaikan, dan kelapangan hidup (sehingga mereka merubah keadaan  yang ada pada diri mereka sendiri)  dengan berubahnya keimanan mereka menjadi kufur (ingkar), dari taat  menjadi maksiat, atau dari bersyukur atas nikmat Allah  menjadi sikap ingkar terhadapnya, maka Allah mencabut ketika itu atas semuanya. Demikian juga jika seorang hamba merubah apa yang ada pada diri mereka, dari maksiat menjadi taat kepada Allah, maka Allah akan merubah apa-apa yang ada padanya, dari keburukan menjadi kebaikan, kebahagiaan, kegembiraan, dan kasih sayang 

  

  1. Sebab Kauni Iaitu sebab yang dilakukan oleh seorang hamba atau kaum sebagai tuntutan rasional kehidupan  dan ada juga yang menyatakan ia sebagai Hukum Alam).

Kehamilan adalah kehendak Allah SWT, tetapi sabab kauni-nya adalah kehamilan mesti didahului bertemunya dua benih sel telur dan sperma. Musibah banjir dan tanah runtuh memang kehendak Allah SWT tetapi sunatullah juga menetapkan bahwa jika manusia membuang sampah sembarangan serta membuat pemukiman penduduk di daerah resapan air, maka yang terjadi adalah banjir. Sembuh dari penyakit adalah atas kehendak Allah SWT, tetapi ada sabab kauni-nya, yakni berubat,lulus tidaknya sesorang pelajar dalam ujian memang kehendak Allah SWT, tetapi sebab kauni-nya adalah kerana usahanya belajar dengan teratur dan berstruktur serta menjaga stamina fizikal dan mentalnya.

 

                Sabab kauni ini jelas diakui oleh Islam. Imam Muslim dalam kitab Shahihnya meriwayatkan:

                Dari Anas bin Malik Radhiallahu ‘Anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam melewati sebuah kaum yang sedang menyerbukkan kurma, lalu beliau bersabda: “Seandainya kalian tidak melakukan itu niscaya hasilnya baik.” (lalu mereka mengikuti anjurannya) Ternyata hasilnya tidak begitu baik,. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bertanya: “Bagaimana pohon Kurma kalian?” Mereka menjawab begini dan begitu. Lalu, Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

 

أنتم أعلم بأمر دنياكم

 

                                                                                    “Kalian lebih tahu urusan dunia kalian.” (HR. Muslim)

 

                Artinya, mereka adalah petani kurma, sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bukan petani kurma,  melainkan pedagang dan penggembala, maka petani lebih tahu urusan pertanian dibanding pedagang dan penggembala. Inilah sabab kauni yang mesti kita perhatikan dalam kandungan kisah ini. Apa yang dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam hanya sebatas pendapat peribadi yang diketahuinya saja, namun karena para sahabat adalah kaum yang sangat taat kepadanya, maka mereka tetap mengikutinya, sebab  khawatir  jika ternyata perintah itu adalah wahyu dari Allah SWT.

 

Wajib Untuk Kita Sentiasa Berdoa

 

Bagi  orang  yang berilmu, maka kejayaan mesti diraih dengan usaha yang gigih. Tapi, tidak cukup itu saja, sebab bagi orang yang beriman kejayaan juga mesti diraih dengan doa. Maka, kesepaduan antara keilmuan dan keimanan seseorang akan membentuk wujud nyata sikap dan perilaku yang seimbang, yakni usaha dan doa, Orang bijak juga mengatakan, “Usaha tanpa doa adalah sombong, doa tanpa usaha adalah mimpi yang kosong.”

 

Ya, usaha tanpa doa, seakan dialah yang menentukan hasil akhir dari usahanya itu, padahal banyak manusia yang tidak berdaya ketika menghadapi badai besar di akhir dari usahanya. Inilah kesombongan dan keangkuhan ditengah kelemahan manusia. Lihatlah petani, sehari lagi mereka akan menuai  maka sudah banyak khayalan yang mereka buat jika nanti selesai menuai. Namun, sang petani tidak berdaya tatkala keesokkan harinya hujan besar menenggelamkan  sawah tanamannya.

 

Sebagai pegakhiran sukalah saya berkongsi bahawa dalam berdoa perlulah ada adab-adabnya,Meskipun waktu dan keadaan berdoa sudah kita patuhi,namun masih ada doa yang tidak dimakbulkan Allah SWT. Ia berlaku apabila seseorang berdoa tetapi dalam masa yang sama masih melakukan maksiat kepada Allah SWT . Pengajaran daripada kisah Ibrahim bin Adham Rahmatullah Alayh seorang Ulamak yang menjelaskan kenapakah doa seseorang masih tidak dimakbulkan Allah SWT.

 

Ketika berada di tengah pasar Basrah, beliau disapa sekumpulan pemuda. Mereka bertanya  Ibrahim bin Adham Rahmatullah Alayh , mengapa doa tidak dimakbulkan Allah SWT pada hal mereka selalu berdoa.

 

Ibrahim bin Adham Rahmatullah Alayh  menjawab doa itu tidak dimakbulkan kerana hati mereka buta (mati) berpunca daripada 10 perkara iaitu:

 

1. Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.

2. Kamu sangka bahawa kamu cintakan Rasulullah, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

3. Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.

4. Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.

5. Kamu berkata bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu tidak menentangnya.

6. Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.

8. Kamu berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.

9. Kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.

10. Kamu kebumikan mayat saudara kamu, tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya.

 

Sehubungan itu, umat Islam perlulah sentiasa berdoa kepada Allah dengan mematuhi segala syarat ketika berdoa.semoga dengan keberkatan itu, insyaAllah , Allah SWT akan menurunkan keberkatan nya keatas setiap usaha dan doa yang kita pohonkan.

 

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah menjadi hambanya yang beriman dan bertaqwa, Wallahu waliyyut taufiq.

Tulisan saya dalam Majalah FARDU AIN edisi ke 10

Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek peribadatan semata tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan. Hal ini kerana Islam amat peka terhadap pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi manusia agar proses transformasi yang di lakukan dalam dimensi-dimensi ini dapat melahirkan manusia bertaqwa, seimbang, berilmu, berakhlak, sihat, intelek, berdisiplin serta teguh pendirian.

Dalam ruangan Hayya Syabab ini saya akan membawa pembaca melihat bagaimanakah generasi muda dapat menjadikan hobi atau minatnya itu sebagai satu ibadah, kerana bagi saya kita sebagai generasi muda punyai belbagai hobi dan minat mesti diraikan sebaik mungkin dengan ruh Islam, jadi bagi memastikan apa yang kita lakukan itu mendapat redha Allah mari bersama kita ikuti nukilan saya ini.

Bulan ini saya ingin membawa pembaca sekalian melihat bagaimanakah sukan dapat dijadikan Ibadah kepada Allah apabila kita melakukannya.

Sebagai seorang aktivis dakwah saya perlu bertemu belbagai lapisan anak muda untuk saya menyampaikan mesej Islam, Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bersukan bersama para pemuda yang dapat menjadikan sukan sebagai ibadah mereka sekaligus berkongsi ilmu dengan pembaca apakah mesej yang hendak saya sampaikan ketika kita bersukan.

Saya ingin membawa sidang pembaca kepada satu perspektif berbeza tentang sukan. Ia bukanlah suatu yang baru, bahkan telah lama wujud seiring dengan kewujudan Islam di muka bumi tetapi menjadi asing atau dianggap baru bagi mereka yang selama ini beranggapan, bersukan hanyalah untuk melegakan stress dan mengeluarkan peluh semata-mata, sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang syumul (menyeluruh) dan juga merupakan ad-din (cara hidup) bagi umat manusia, maka bukan sahaja aspek ibadah khusus, seperti solat, puasa dan zakat, malah seluruh aspek kehidupan seperti makan dan minum, tidur, mandi, belajar, mengajar, bekerja, melancong, berkawan, berkahwin, mempunyai zuriat dan segala-apa yang terlintas di fikiran kita, jika dilakukan berlandaskan syariat dan niat yang betul maka ianya dikira sebagai ibadah. Dan ini termasuklah dengan bersukan.

Mesej pertama yang ingin saya sampaikan kepada sidang pembaca ialah, bagaimana kita mahu menjadikan sukan ini indah dengan nilai-nilai ibadah.

Untuk menjawab persoalan ini, saya simpulkan tiga rukun ibadah yang banyak dikemukan oleh para Alim Ulama’:

1. Adanya rasa cinta kepada Allah SWT.
2. Adanya rasa harap kepada Allah SWT.
3. Adanya rasa takut kepada Allah SWT

Oleh itu, untuk menjadikan bersukan itu ibadah, kita perlu menyandarkan semangat atau ruh kita kepada Allah SWT melalui tiga rukun tersebut sementara kekuatan fizikal diluah dalam aktiviti sukan yang kita lakukan. Sebagai contoh, ketika bersukan atau menyertai satu pertandingan sukan, kita niatkan untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat supaya di kemudian hari dengan keadaan tubuh yang kuat dan sihat, kita dapat melaksanakan urusan-urusan yang lebih Allah sukai. Jika Allah suka dengan perlakuan kita maka secara automatiknya Allah lebih cinta dan sayang kepada kita.

Adanya rasa harap kepada Allah swt pula tidak lari dari konsep tawakkal. Kebanyakan aktiviti sukan terutamanya yang melibatkan pertandingan terarah kepada bentuk persaingan. Maka, sudah pasti kita bercita-cita untuk berjaya dalam aktiviti yang kita sertai. Jadi, berusahalah bersungguh-sungguh kemudian letakkan pengharapan akan kesudahannya kepada Allah, kerana kita yakin Allah yang mencipta dan mengatur aturan alam ini lebih tahu apa yang terbaik dalam setiap keputusan yang berlaku. Jika kejayaan milik kita, maka bersyukurlah. Jika tidak, pasti ada hikmah yang perlu kita kupas dan terokai.

Dan adanya rasa takut kepada Allah adalah dengan menjaga perlakuan, pergaulan dan pemakaian kita ketika bersukan. Menjaga lidah kita sekalipun ada rasa tidak puas hati, tidak mencederakan dengan sengaja, menyalahkan orang lain atas kekalahan kita dan berpakaian sopan, semua ini hanya dapat kita pelihara dengan wujudnya perasaan takut akan Allah swt yang sentiasa memerhati dan mengetahui segala yang tersurat dan tersirat, takut akan mendapat kemurkaan dari-Nya, mungkin pengaruh sukan yang sangat kuat di peringkat antarabangsa seperti World Cup dan Sukan Olimpik yang rata-rata umat manusia menontonnya secara langsung di kaca tv, aspek pemakaian yang tidak menutup aurat seperti berseluar pendek bagi lelaki dan berpakaian ketat oleh wanita sudah menjadi satu kebiasaan bagi kebanyakan umat islam. Malah, sesetengahnya tidak lagi segan untuk berpakaian sedemikian apatah lagi menonton ahli-ahli sukan pujaan mereka beraksi dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Nampak ringan tetapi arahan Allah SWT dengan jelas memberi ancaman-Nya yang sangat berat kepada manusia yang tidak menjaga auratnya, Firman Allah swt dalam surah an-Nur ayat 30-31 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Dengan demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya.

Maka, dengan tujuan-tujuan serta saranan-saranan yang diberikan, saya mengharapkan para pembaca dapat sedikit-sebanyak mengambil ibrah (pengajaran) dan menjadikan perkongsian ini sebagai input yang berguna dalam menelusuri kehidupan seharian kita sebagai abidullah (hamba kepada Allah) dan khalifah di muka bumi dalam menyampaikan kebaikan dan menegakkan kebenaran.

InsyaAllah bertemu lagi dengan saya dalam aktiviti anak muda dalam keluaran seterusnya, Semoga Allah SWT senantiasa membimbing kita. Wallahu waliyyut taufiq.

Warisan para pejuang (mujahid) di kalangan ulama’, sarjana, cendekiawan di zaman silam, adalah generasi yang benar-benar hidup dengan Islam serta melaksanankannya dalam agenda kehidupan berasaskan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

Mereka meletakkan keyakinan penuh bahawa Islam sahajalah yang mampu menyelesai segala permasalahan, masalah krisis keyakinan umat, krisis pegangan terhadap ajaran agama, penyimpangan akidah, pengamalan cara hidup yang tidak selari dengan tuntutan syarak menjadi keutamaan untuk diberi pengamatan sepenuhnya.

Apapun yang penting selain taat setia, ikrar, janji terhadap Allah SWT dimeterai pada setiap pelaksanaan ibadat solat 5 waktu, mereka buktikan dalam 5 bentuk slogan yang amat terkenal khususnya di kalangan para pejuang yang ingin menegakkan agama Allah SWT.

Lima slogan yang dimaksudkan:

1. Allah matlamat hidup kita.

2. Rasulullah ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita.

3. Al-Quran perlembagaan hidup kita.

4. Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita.

5. Mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita.

Pertama, kita bertanya bagaimana kita hendak merealisasi Allah SWT sebagai matlamat hidup kita?
Allah ‘minded’ atau Allah ‘Oriented’ memang menjadi darah daging kepada generasi kalangan ulama silam. Ini menunjukkan bahawa mereka meletakkan Allah adalah segala-galanya dalam agenda hidup mereka yang utama. Ia juga menggambarkan betapa Allah menjadi pra syarat pertama yang mesti didahulukan dalam segenap perancangan jangka pendek atau panjang untuk melebarkan sayap-sayap Islam, tanpanya segala perancangan bagaikan tidak mendapat restu Allah SWT.

Ia boleh direalisasi dalam perkara berikut secara urutan:

1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.

2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.

3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.

4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang sukar untuk dilakukan.

5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah.

6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil, mathurat dan zikir-zikir harian yang lain.

7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.

8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.

9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan. Ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah.

10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.

11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan 11 rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.

12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.

13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.

14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.

15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.
16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).

17. Tidak banyak berangan-angan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.

18. Tidak mengejar kamasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.

19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.

20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan-Nya.

21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.

22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya-Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Kedua, Rasulullah SAW sebagai ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita dibuktikan secara sungguh-sungguh pelaksanaan sunnah-sunnah baginda dari sudut kenyataan, ungkapan, cara hidup, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mentadbir negara dan banyak lagi, pendek kata ia boleh digarap melalui penghayatan Sirah baginda Rasulullah SAW.
Kebangkitan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Rasulullah SAW bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah”.

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah SAW adalah ‘role model’ bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah SAW itu terletak contoh pemimpin yang baik, contoh bapa yang baik, contoh suami yang baik, contoh jiran yang baik, contoh peniaga yang baik, contoh sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah SAW.

Sikap sesetengah umat Islam yang mengambil individu tertentu sebagai model ikutan adalah sesuatu yang mendukacitakan, Mereka mengambil pemimpin yang zalim dan penyanyi Barat sebagai contoh ikutan. Apa yang lebih memilukan ada yang menjadikan golongan yang memuja maksiat dan bergelumang dengan najis dadah dan jenayah sebagai contoh ikutan mereka. Sedangkan semua itu bukan mengajak mereka kepada kebaikan tetapi mendorong mereka kepada kebinasaan dan kelalaian semata-mata.

Justeru kita perlu jelas,walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah SAW yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.

Ketiga, Al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita, Al- Quran sebagai sumber kekuatan jati diri pada ketika umat Islam semakin longgar ikatan dan hubungan mereka kepada ajaran agama mereka sendiri. Justeru ia perlu dibaca setiap hari, dihayati, didiskusi dalam majlis-majlis ilmu bagi mengembalikan sejarah kegemilangan kekuatan umat Islam pada era sahabat dan tabi’in.

Al-Quran menjadi mukjizat kekal bagi Rasulullah SAW dan buat manusia seluruhnya. Mukjizat-mukjizat lain seperti air keluar dari celah jari Rasulullah SAW, pokok kurma datang kepada Rasulullah SAW, bulan terbelah hanya dilihat di zaman ia berlaku sahaja. Mungkin ada kesannya yang boleh dilihat hingga sekarang tetapi satu-satunya mukjizat yang kekal, bukan sahaja sebagai mukjizat dengan nama mukjizat, bahkan sebagai petunjuk kepada manusia, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, menjadi pemisah di antara yang haq dan batil serta menjadi perlembagaan paling tinggi buat hidup dan kehidupan manusia di dunia ini ialah Al-Quran.

Keempat, Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita, ia bukan sahaja difahami dalam konteks carta haraki sebagai memikul senjata dalam medan peperangan, akan tetapi diertikan juga sebagai jihad melawan tipu daya syaitan yang berusaha untuk menyekat pergerakan diri kita untuk mendaulatkan Islam dan merasa lemah dan lesu untuk berbuat demikian.

Jihad terbahagi menjadi empat:

1. Jihad melawan hawa nafsu iaitu berjihad melawan hawa nafsu ammarah yang sentiasa inginkan keseronokan dan hiburan melampau yang boleh menjerumuskan kita kedalam lembah kemaksiatan.

2. Jihad melawan hasutan dan godaan syaitan, iaitu berjihad untuk
melawan apa yang dibisik oleh syaitan yang berupa kemaksiatan dan kemungkaran.

3. Jihad melawan orang-orang yang zalim dan pelaku kemungkaran, iaitu berjihad melawan mereka dengan menggunakan tangan, lisan atau hati, sesuai dengan kondisi dan maslahat yang terbaik bagi Islam dan kaum muslimin.

4. Jihad melawan orang kafir dan munafik, iaitu berjihad melawan mereka dengan menggunakan hati, lisan, harta atau jiwa dan inilah yang dimaksudkan sebagai (peperangan menentang orang-orang kafir yang memerangi Islam dan golongan munafik yang sentiasa mengkhianati Islam)

Akhir sekali ialah mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita, iaitu ada ruang dalam hati kecil kita, mahu memperjuangkan Islam walau tergadai nyawa, harta, masa, tenaga, keluarga seperti yang pernah dibuktikan oleh para ulama dalam menghadapi tribulasi ketika berdakwah menegakkan kebenaran agama Islam. Ada yang terbunuh syahid dan ada pula yang sedang menunggu giliran untuk meraih anugerah sebagai golongan syuhada untuk bersama para anbiya di dalam syurga.

“Sesungguhnya umat yang tahu cara mati terbaik, yang tahu bagaimana untuk mati dengan kematian yang mulia, akan dikurniakan Allah kehidupan yang agung di dunia dan nikmat yang kekal di akhirat. Tidaklah mendung yang meliputi kita hari ini melainkan kerana cinta dunia dan takutkan mati. Persiapkanlah diri kamu untuk suatu tugas yang besar. Bersungguh melengkapkan diri untuk mati, nescaya Allah mengurniakan kamu kehidupan. Ketahuilah bahawa mati itu pasti. Ia pula hanya sekali. Jika kamu jadikan mati itu di jalan Allah, maka untukmu keuntungan di dunia dan pahala di akhirat. Tidak akan menimpa kamu melainkan apa yang telah ditentukan Allah ke atas kamu”
“Berkerjalah untuk kematian yang mulia, nescaya kamu akan berjaya dengan kebahagiaan sepenuhnya. Moga Allah mengurniakan kepada kami dan kamu kemuliaan mati syahid di jalan-Nya.” (As-Syahid Imam Hassan Al-Banna)
Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah menjadi hambanya yang beriman dan bertaqwa, Wallahu waliyyut taufiq.

Saya bantah dan nafikan ketiga-tiga tuduhan terhadap saya.Ini kerana tuduhan tersebut adalah tidak benar dan direka-reka.Tuduhan itu menghinakan nama baik perjuangan saya selama ini.

Sebelum saya menerangkan bantahan dan penafian saya, saya hendak menerangkan cara pihak polis menbuat tuduhan itu. Dari pagi 29 januari 1965 saya telah mula disoal siasat setiap hari pada waktu-waktu pagi, petang dan malam. Paginya bermula dari jam 9 pagi dan malamnya berakhir pada jam 12 malam atau lebih.

Setiap hari sekurang-kurangnya saya digari sebanyak enam kali.
Bilik kurungan lokap itu tidak cukup angin menyebabkan saya susah hendak bernafas. Kelemasan menyebabkan saya sakit dada dan bersin-bersin. Saya terasa panas pada kembuluhan nafas dan paru-paru saya. Sepanjang ditahan hingga berbelas kali saya diserang penyakit lelah. Apabila saya dibenarkan mengambil angin di luar bilik tahanan, barulah lega sedikit sesak nafas saya itu.

Doctor datang tiga hari sekali. Ia menolong supaya diganti lokap untuk saya. Bila ditukar cuma tukar tempat saya tinggal. Jenis lokapnya serupa sahaja. Kemelaratan saya terus berlaku.Suatu hari doctor memberitahu bahawa tubuh saya kekurangan air. Air liar saya pekat dan mulut kekeringan kerana saya hanya diberi minum secawan the pagi, secawan air panas masa makan tengah hari dan malam. Doctor juga pertahankan agar mereka beri saya air panas.

Kira-kira tiga hari setelah saya ditahan saya mengidap sakit gatal di celah kelangkang dan kedua belah tangan saya berkudis-kudis. Saya minta seluar dan baju baru yang tidak berganti-ganti. Saya telah terkena jangkitan kudis-kudis dari seluar yang kotor. Doctor kemudian meminta tukar seluar baju saya. Seluar dan baju itu juga hendaklah dijaga kebersihannya.

Seperkara yang mengazabkan saya adalah susah hendak buang air besar dan buang air kecil. Kadang-kadang sampai berjam-jam kena tunggu hendak buang air kecil atau buang air besar. Kerana terpaksa menunggu lama itu saya dapat sakit payah kencing, iaitu kencing tidak lawas. Bila doctor memeriksa saya, didapati saya mengidap penyakit prostatitis. Sekarang ini pun saya masih lagi menghidap penyakit ini.

Saya tidak diberi memakai kaca mata padahal dari umur 15 tahun saya telah berkaca mata,Saya tidak diberi sabun,
Saya tidak diberi berus gigi, Saya tidak dibenarkan membaca Quran.
Malam-malam nyamuk tidak terkira banyaknya menyerang sukar sekali untuk saya tidur. Tambah lagi rasa lemas dan cemas serta sesak dada. Saya tidak dibenarkan berselipar di atas lantai simen. Tilam yang diberikan mereka kepada saya kotor dan berhabuk menyebabkan selalu saya terbersin serta pula berbau busuk dan hapak.

Selama empat hari dan empat malam saya ditanya dengan berbagai-berbagai pertanyaan dan tuduhan yang mencemarkan saya sebagai seorang pemimpin.Saya tersangat hairan dan kebingunagan keran tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan dan tidak selayaknya dituduhan kepada saya seorang ahli politik yang telah lama di gelanggang politik dan berjuang cara Perlembagaan dari 1937 lagi. Tidak pernah saya lakukan dan berniat melakukan perkara-perkara di luar Perlembagaan, peraturan kemanusiaan, Human Right dan piagam-piagam bangsa-bangsa bersatu. Segala tuduhan itu saya jawab bahawa saya tidak tahu dan mana yang patut saya nafikan saya nafikan.

Saya terperanjat mendengar pertanyaan polis bahawa saya termasuk bersama merancang exile government. Sedangkan ianya adalah suatu perkara yang tidak terlintas pun pada fikiran saya.Pertanyaan-pertanyaan itu saya kira adalah perkara yang bukan-bukan. Ia tidak sepatutnya ditanyakan kepada saya sebagai seorang tokoh politik dan ketua antara parti terbesar di Malaya.Saya telah minta kepada polis supaya beritahu secara terang dan bertulis apakah tuduhan ke atas saya. Tuduhan-tuduhan bertulis ini boleh saya jawab atau bawa saya ke mahkamah. Kadang-kadang saya disoal dengan berdiri berjam-jam dan disuruh membuka baju dan seluar.

Demikianlah soal jawab ke atas saya yang sebentar berkeras dan sebetar berlembut. Tuduhan-tuduhan yang tidak berasas semuanya saya tolak dan nafikan. Mana-mana yang saya tahu secara terus terang saya nyatakan. Soal-siasat seperti ini berjalan selama kira-kira 14 hari. Semakin hari semakin mereka menekan saya untuk mengaku bahawasaya tahu dan turut serta bersubahat dengan Dato’Raja ,Ishak Haji Mohamad dan Aziz Ishak.

Saya menafikan ada hubungan selain daripada perkara-perkara pergerakan biasa dan urusan politik biasa. Demikian juga bermacam soalan dan tekanan cross examination dilakukan untuk memerangkap saya supaya membenarkan soal exile government itu .

Jika tidak silap pada 14 Januari saya diperdengarkan ucapan radio Dato’Raja dan Ishak Hj mohamad. Dan masa itu orang yang menyoal saya terus telah bertukar-tukar dengan orang-orang yang baru pula. Mereka itu menyoal dengan berlembut.

Soal-siasat mereka meleret-leret dan mengenai bermacam-macam perkara dengan soalan-soalan cross examination. Soalan itu saya rasa berakhir pada 13 Mac. Ada kenyataan (statement) yang telah dibuat berkenaan saya. Apa yang ada saya tulis sendiri ialah menerangkan pernentangan saya bukan atas kerajaan dan kedaulatan Malaysia tetapi saya menentang Perikatan dan segala kezaliman. Semua perkara ini timbul dari salah politik perikatan terhadap rakyat dan Negara. Itupun hanya baca selepas saya berikan bangkangan terbuka ke atas mereka.

Tentang tekanan-tekanan dan keadaan-keadaan yang mengganggu saya dan penyakit-penyakit yang saya tanggung dalam lokap itu saya berkeadaan dalam bimbang. Saya sentiasa cemas dengan tekanan yang semakin dahsyat yang tidak sepatutnya dan selayaknya dilakukan ke atas saya sebagai seorang tahanan politik. Hingga 27 Mac saya dipindahkan ke Batu Gajah.

Saya merasakan dan mengira bahawa tekanan ke atas saya dengan segala tuduhan yang tidak betul adalah direka-reka semata-mata . Polis telah melakukan salah guna undang-undang Keselamatan Dalam Negeri. Perikatan dalam ketakutan dan kebimbangan disebabkan bangkangan oleh saya.

Burhanuddin Al-Helmy